MALAYSIA SERTAI INISIATIF BRAZIL BASMI KEBULURAN DAN KEMISKINAN
Daripada M. Saraswathi
RIO DE JANEIRO (Brazil), 19 Nov (Bernama) -- Malaysia menyertai Global Alliance Against Hunger and Poverty, satu inisiatif yang dipelopori oleh Kepimpinan G20 Brazil, untuk mempercepatkan usaha memerangi kebuluran dan kemiskinan serta, memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan menyertai Pakatan Global ini, “Malaysia menegaskan komitmennya untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 dalam memerangi kebuluran dan kemiskinan, serta memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
“Kerajaan Malaysia telah membuat kemajuan yang signifikan melalui Kerangka Ekonomi MADANI, bagi memperbaiki kesejahteraan hidup rakyat.
“Tumpuan kami merangkumi pengukuhan struktur tadbir urus, memastikan kemampanan fiskal, meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, memajukan transformasi digital, dan komitmen terhadap tindakan iklim,” katanya dalam sesi pertama Fight Against Hunger and Poverty pada Sidang Kemuncak G20 di sini, pada Isnin.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam usaha membina kapasiti, dengan fokus meningkatkan daya tahan, mengurangkan kemiskinan, dan memperbaiki tadbir urus di seluruh rantau ini.
"Perjuangan membasmi kebuluran dan kemiskinan secara langsung memberi kesan kepada pembangunan manusia.
“Akhirnya, komitmen bersama terhadap matlamat ini akan membawa kepada dunia di mana kebuluran dan kemiskinan dapat dihapuskan dan semua orang dapat berkembang,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Pakatan Global ini memerlukan komitmen politik yang kukuh dan tindakan bersama untuk menamatkan dasar-dasar yang salah jika kita benar-benar serius dalam menghapuskan kebuluran dan kemiskinan secara berkesan.
"Dalam hal ini, kejayaan China dalam membasmi kemiskinan sangat wajar dicontohi, dengan mengambil kira keperluan sosialekonomi khusus setiap negara terbabit," katanya.
Malaysia, bersama 16 negara lain termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam, adalah negara tetamu sidang Kemuncak G20.
Kali terakhir Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak G20 adalah pada 2015 di Turki sebagai Pengerusi ASEAN ketika itu.
G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan, iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), dan Kesatuan Afrika (AU).
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Pakatan ini ditubuhkan membabitkan 148 ahli pengasas, termasuk 82 negara, Kesatuan Afrika, Kesatuan Eropah, 24 organisasi antarabangsa, sembilan institusi kewangan antarabangsa, dan 31 organisasi filantropi serta bukan kerajaan. Dengan pendekatan yang inovatif, ia bertujuan untuk mempercepatkan usaha global dalam membasmi kebuluran dan dan kemiskinan.
Antara pengumuman dan komitmen yang dibuat adalah sasaran untuk mencapai 500 juta orang melalui program pemindahan pendapatan di negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah, menjelang tahun 2030.
Selain itu, Pakatan ini bertujuan untuk memperluas pemberian makanan berkualiti tinggi di sekolah kepada lebih 150 juta kanak-kanak di negara-negara yang berdepan dengan kemiskinan dan kebuluran kanak-kanak yang berterusan, sambil mengumpul sejumlah besar wang, sama ada dalam bentuk kredit atau sumbangan daripada bank pembangunan multilateral untuk melaksanakan inisiatif ini dan program yang lain.
"Seperti yang dinyatakan oleh saintis dan ahli geografi Brazil Josué de Castro, 'kebuluran adalah ekspresi biologi kejahatan sosial’.
"Ia adalah hasil keputusan politik yang terus menerus mengecualikan sebahagian besar manusia," kata Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, ketika pelancaran inisiatif berkenaan.
Anggota G20 mewakili 85 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia yang bernilai US$110 trilion.
Selain itu, ia juga menyumbang 75 peratus daripada perdagangan barangan dan perkhidmatan dunia yang bernilai US$32 trilion serta dua pertiga daripada 8 bilion penduduk dunia.
“Tanggungjawab kini, terletak pada mereka yang berada di meja rundingan ini agar tidak menangguhkan tugas mendesak ini untuk menamatkan luka yang memalukan kemanusiaan.
"Oleh itu, kami menetapkan sebagai objektif utama Kepengerusian Brazil di G20, pada pelancaran Pakatan Global terhadap pembasmian Kebuluran dan Kemiskinan," kata Presiden Brazil.
“Usaha ini akan menjadi warisan terbesar kami.
“Ia bukan sekadar menegakkan keadilan. Ia adalah syarat penting untuk membina masyarakat yang lebih makmur dan dunia yang aman,” katanya.
-- BERNAMA