COP29: ASEAN DI BARISAN HADAPAN PERANGI PERUBAHAN IKLIM
Daripada Samantha Tan Chiew Tieng
BAKU (Azerbaijan), 19 Nov (Bernama) -- ASEAN yang mempunyai populasi hampir 690 juta penduduk diiktiraf sebagai rantau penting dalam usaha memerangi perubahan iklim, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata rantau ini mempunyai banyak peluang besar berikutan ekonominya yang berkembang pesat tetapi terhalang oleh cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini akibat kesan perubahan iklim.
"Tidak dapat disangkal Asia Tenggara ialah kuasa ekonomi global. Menjelang 2030, rantau itu diunjurkan muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia. Namun, kisah kejayaan ini dibayangi realiti bahawa rantau ini juga antara paling terdedah kepada perubahan iklim.
"Kos ekonomi dan manusia sungguh mengejutkan. Bahaya iklim berpotensi memberi kesan hingga US$130 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2050 dengan sebahagian besar penduduk berdepan kesan buruk jika pemanasan global mencecah dua darjah Celsius," katanya pada perbincangan panel bertajuk "Nature, Tech and Collective Action: Advancing Southeast Asia's Resilience" di sini hari ini.
Perbincangan itu diadakan di BCG-Centre for Public Impact Pavilion sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) yang berlangsung dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku.
Nik Nazmi berkata menurut "Notre Dame Global Adaptation Initiative 2024", empat negara ASEAN - Filipina, Vietnam, Laos dan Myanmar - antara yang paling terdedah di dunia dan rantau ini kini bergelut bahaya iklim rentas sempadan seperti banjir, kemarau, gelombang haba dan peningkatan paras laut.
Beliau berkata sebagai contoh, Lembangan Sungai Mekong yang menjadi sumber kehidupan jutaan penduduk di Laos, Kemboja, Thailand dan Vietnam, kini kian terancam akibat kemarau serta banjir.
Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan hampir enam juta kanak-kanak terjejas akibat Taufan Yagi baru-baru ini yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh, menjejaskan akses kepada air bersih, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan tempat tinggal.
"Tanah air saya, Malaysia juga terkesan akibat krisis itu … menyerlahkan keperluan kritikal untuk perancangan guna tanah yang mampan dan langkah penyesuaian iklim yang berkesan.
Beliau berkata cuaca ekstrem itu turut memberi kesan kepada pesawah di Malaysia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan.
Nik Nazmi berkata peranan rantau itu sebagai hab penting rantaian bekalan global bermakna kerentanan iklim di Asia Tenggara turut memberikan kesan kepada perdagangan global.
"Banjir di Bangkok pada 2011 menjejaskan ekonomi Thailand yang memberi kesan kepada kira-kira 1.1 peratus daripada KDNK negara ini. Bagaimanapun, kesan turut dirasai negara lain. Kira-kira 550 syarikat Jepun menghadapi gangguan yang menjejaskan operasi kilang di Malaysia, Indonesia dan Vietnam," katanya.
Nik Nazmi berkata usaha menangani cabaran ini perlu ditumpukan kepada tiga bidang utama yakni penyelesaian berasaskan alam semula jadi (NbS) seperti pemulihan bakau dan ruang hijau bandar, kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan tindakan kolektif dalam ASEAN.
Beliau berkata ASEAN bertuah kerana mempunyai sumber semula jadi yang tiada tandingan - Heart of Borneo, hutan rentas sempadan yang lebih besar daripada gabungan England dan Scotland dan Segetiga Terumbu Karang yang mempunyai lebih 2,500 spesies ikan karang dan terumbu.
"Ekosistem ini bukan sekadar khazanah yang perlu dipelihara malah menawarkan penyelesaian kepada cabaran iklim. Kajian menunjukkan penyelesaian ini boleh menjimatkan negara membangun sebnayak US$104 bilion menjelang 2030 dan US$393 bilion menjelang 2050, sambil mengurangkan kesan bahaya perubahan iklim sekurang-kurangnya 26 peratus," katanya.
Beliau berkata alam semula jadi menawarkan penyelesaian paling berkesan untuk adaptasi iklim melalui inisiatif NbS seperti memulihkan hutan bakau untuk mencegah hakisan pantai atau mewujudkan ruang hijau bandar bagi mengurangkan banjir.
"Langkah-langkah yang diambil ini juga menyokong kepelbagaian biologi, keselamatan makanan dan air serta mewujudkan peluang pekerjaan - menawarkan pulangan pelaburan yang komprehensif," katanya.
Mengenai kemajuan teknologi, khususnya AI, Nik Nazmi berkata ia telah membuka adaptasi iklim baharu dan sempadan daya tahan.
"AI mempunyai potensi untuk mengukur kos yang perlu ditanggung jika tiada tindakan diambil dan kesan keseluruhan merentas dimensi ekonomi, sosial dan semula jadi, menjadikan projek adaptasi boleh diterima dan membantu pembuat keputusan membuat pengagihan sumber dengan lebih berkesan.
"Daripada sistem amaran awal dan penyelenggaraan infrastruktur ramalan kepada sistem pengairan pintar dan sistem tindak balas bencana yang pantas, teknologi melengkapkan untuk menangani ketidakpastian masa depan," katanya.
Nik Nazmi berkata kekuatan ASEAN terletak pada kesalinghubungan - geografi, budaya dan perdagangan - dengan bersatu di bawah visi bersama, rantau ini boleh memperkukuh usaha dan membuka lebih banyak pembiayaan, memupuk kerjasama dan skala penyelesaian yang memberikan impak.
“Kelak apabila Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN 2025, saya menyeru kita bersatu sebagai Komuniti ASEAN dan membangunkan penyelesaian inovatif yang bukan sahaja melindungi rantau kita bahkan membawa harapan ke arah masa depan yang mampan, makmur dan berdaya tahan untuk semua,” katanya.
-- BERNAMA