KEPENGERUSIAN ASEAN 2025: MALAYSIA SEDIAKAN RUANG DIALOG PERTAHANAN KONSTRUKTIF, PROGRESIF
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Malaysia berhasrat menyediakan platform serta ruang perbincangan mengenai pertahanan yang konstruktif, terbuka dan progresif untuk rakan-rakan dialog strategik semasa tempoh kepengerusian ASEAN tahun depan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia sebagai pendekatan dan langkah ASEAN dalam mendepani cabaran geopolitik, keselamatan dan pertahanan yang lebih mencabar di peringkat global.
Beliau berkata dengan tema ASEAN Unity for Security and Prosperity, Malaysia bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dengan efektif dan berkesan buat setiap negara anggota, demi terus memelihara kestabilan dan keselamatan serantau.
"Adalah menjadi tekad Malaysia untuk meneruskan segala pencapaian yang membawa ASEAN ke tahap yang lebih tinggi sekali gus membawa manfaat kepada setiap komuniti negara-negara anggota dan kesejahteraan serantau," katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamed Khaled kini berada di Vientiane, ibu negara Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-18 dan ADMM-Plus ke-11 yang berakhir semalam.
Beliau berkata pada akhir mesyuarat itu, Laos turut menyerahkan kepengerusian Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus kepada Malaysia yang disaksikan oleh ketua delegasi setiap negara yang hadir ke mesyuarat itu.
"Tahun 2025 menjadi tahun yang begitu bermakna buat Malaysia. Bukan sahaja kerana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, bahkan ia merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, malah Malaysia akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045," katanya.
Malaysia telah memegang tampuk kepengerusian ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015, yang menyaksikan setiap kali kepengerusian dijalankan, Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dan mempertingkatkan integrasi ekonomi ASEAN.
-- BERNAMA