PROTOKOL ASEAN 5 PERLUAS AKSES PENERBANGAN, EKONOMI ANTARA NEGARA ANGGOTA - LOKE
KUALA LUMPUR, Nov 22 (Bernama) -- Pemeteraian Protokol ASEAN 5 mengenai Hak Singgah Sendiri antara Titik Dalam Wilayah Negara Anggota ASEAN mampu meningkatkan sambungan udara dan perdagangan di rantau ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Protokol itu katanya dijangka berkuat kuasa tahun depan sejurus menerima persetujuan kesemua negara anggota ASEAN.
“Selepas semua negara (ASEAN) tandatangan ia akan berkuat kuasa di Kuala Lumpur di sini kita sudah muktamadkan dan banyak negara akan tandatangan (protokol ini) umpamanya Vietnam sebentar lagi. Tetapi ada satu atau dua negara yang masih belum tandatangan dan kita akan edar (protokol ini) kepada mereka.
“Selepas mereka tandatangan bermaksud protokol ini akan mula berkuat kuasa menjelang tahun depan. Namun, masih ada instrumen selepas proses tandatangan ini dan pihak sekretariat ASEAN akan memuktamadkan,” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-30 dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) ke-58 di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata dengan adanya Protokol ASEAN 5 ini, syarikat-syarikat penerbangan boleh meneruskan penerbangan dari satu destinasi ke destinasi lain di negara-negara rantau ASEAN.
“Contohnya, kita pergi ke Singapura daripada penerbangan Kuala Lumpur maka dari Singapura itu kita boleh meneruskan penerbangan ke Bali, Indonesia. Jadi ini satu protokol penting untuk syarikat penerbangan kerana kelaziman kita walaupun ada ASEAN Open Sky Policy, ia hanya two end flow.
“Bererti penerbangan itu pergi ke satu tempat dan balik ke destinasi asal. Tetapi dengan adanya protokol baharu ini, mereka boleh singgah dan pergi ke perhentian seterusnya di negara-negara ASEAN. Ini satu penambahbaikan, kemajuan dalam sektor penerbangan di peringkat ASEAN,” katanya.
Loke berkata dasar ini dilihat akan memudahkan dan memberi manfaat kepada syarikat penerbangan, khususnya syarikat di Malaysia seperti Air Asia, Batik Air Malaysia dan Malaysia Airlines yang mempunyai banyak penerbangan di rantau ASEAN.
Beliau berkata Perjanjian Perkhidmatan Udara ASEAN-New Zealand dan Protokol 1 hasil mesyuarat itu juga menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan penerbangan antara ASEAN dan New Zealand.
“Perjanjian ini memperluas akses pasaran untuk syarikat penerbangan, menyokong kerjasama ekonomi, dan memudahkan hubungan antara rakyat, dengan itu memperdalam hubungan antara kedua-dua rantau,” katanya.
-- BERNAMA