MALAYSIA, SWITZERLAND SETUJU TUBUH PROGRAM MALAYSIA-SWISS NEXUS DI IKMAS

Kredit : Fb Zambry Abd. Kadir
23/01/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Switzerland bersetuju dengan penubuhan Program Malaysia-Swiss Nexus melalui sekretariat di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, dalam catatan di Facebook hari ini, memaklumkan bahawa persetujuan itu dicapai semasa pertemuannya dengan rakan sejawatannya Prof. Dr. Martina Hirayama, yang juga Setiausaha Negara bagi Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi (SERI) Switzerland.

Pertemuan tersebut diadakan semasa Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.

“Pertemuan ini adalah lanjutan daripada pertemuan pertama kami pada September lalu di Bern, Switzerland. Pelbagai perkara telah dibincangkan, termasuk langkah susulan terhadap isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya.

Zambry turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menilai secara komprehensif program pertukaran kepakaran, termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah, dan penyelidik dari kedua-dua negara.

Selain itu, beliau turut menjemput Hirayama untuk melawat Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bagi melihat lebih dekat universiti dan politeknik di negara ini serta menjalin kerjasama yang lebih erat.

-- BERNAMA