NEGARA ASEAN PERLU TINDAKAN KOLEKTIF TANGANI PERUBAHAN IKLIM - AHLI AKADEMIK
Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi
KANGAR, 30 Mac (Bernama) -- Negara anggota ASEAN memerlukan tindakan kolektif bagi menangani isu pelbagai manifestasi perubahan iklim termasuk kenaikan paras laut, peningkatan suhu serta hujan lebat yang ekstrem dan kemarau berpanjangan.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Umi Fazara Md Ali berkata tumpuan kepada isu perubahan iklim dalam Mesyuarat ASEAN-Malaysia 2025 sangat penting kerana ia mencerminkan keprihatinan rantau berkenaan terhadap cabaran global itu.
Beliau berkata walaupun ASEAN bukan penyumbang utama perubahan iklim secara global, ia tetap memainkan peranan penting dalam mitigasi pelepasan gas rumah kaca.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mempunyai peluang strategik untuk memimpin dialog, perbincangan dan tindakan kolektif termasuk memperkukuh kerangka dasar serantau seperti Inisiatif Perubahan Iklim ASEAN (ACCI) dan Pelan Tindakan ASEAN Mengenai Perubahan Iklim.
“Kedua-dua inisiatif ini adalah langkah strategik ASEAN untuk memainkan peranan aktif dalam mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Usaha ini menunjukkan komitmen ASEAN dalam menangani perubahan iklim di peringkat serantau dan global sambil menyokong pembangunan mampan bagi negara anggotanya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada November 2024, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan mengutamakan isu perubahan iklim sebagai agenda utama rantau itu selaras dengan tema “keterangkuman dan kelestarian”.
Nik Nazmi berkata Malaysia sebagai Pengerusi Bagi Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Perubahan Iklim (AWGCC) 2022-2025 berpeluang memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani perubahan iklim.
Umi Fazara berkata perubahan iklim turut menyebabkan cuaca semakin tidak menentu dengan pola monsun dan hujan berubah-ubah sehingga menyukarkan ramalan banjir serta perancangan mitigasi, justeru Malaysia harus menumpukan beberapa perkara utama untuk dibincangkan bersama negara anggota ASEAN antaranya pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang menggalakkan penggunaan sumber tenaga solar, angin dan biojisim.
“Perkara lain yang boleh dibincangkan ialah berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dengan memperkukuh kerjasama dalam pengurusan hutan tropika memandangkan hutan ASEAN menyumbang kepada penyerapan karbon yang signifikan.
“Selain itu, kaedah memperluas akses kepada dana antarabangsa untuk inisiatif mitigasi dan adaptasi iklim di ASEAN serta mengintergrasikan pendidikan alam sekitar dalam sistem pendidikan ASEAN bagi memupuk kesedaran generasi muda,” katanya.
Beliau turut mencadangkan beberapa langkah untuk tindakan berkesan menangani isu perubahan iklim antaranya mengadakan kajian bersama antara negara ASEAN dengan melibatkan penyelidikan bersama termasuk pihak universiti dan industri bagi membangunkan penyelesaian inovatif dalam mitigasi perubahan iklim.
“Langkah lain ialah menggalakkan pembangunan teknologi hijau seperti kenderaan elektrik dan grid tenaga pintar di seluruh rantau ini selain menginstitusikan undang-undang serantau yang lebih ketat untuk mengawal pelepasan karbon dan aktiviti pembakaran terbuka serta memperkasakan komuniti setempat melalui latihan dan program kesedaran bagi melaksanakan amalan mampan,” katanya.
Mengenai kajian berkaitan isu perubahan iklim, Umi Fazara berkata beliau telah melaksanakan kajian berkaitan penjerapan karbon menggunakan karbon aktif yang dihasilkan daripada biojisim seperti sisa kelapa sawit, sisa jerami padi dan mikroalga, dengan kajian itu amat relevan kerana teknologi penjerapan karbon terbabit berpotensi membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca.
“Kajian saya turut memberi penekanan kepada kepentingan parameter seperti dos penjerap dan kadar aliran gas untuk meningkatkan keberkesanan proses penjerapan karbon. Penemuan ini berpotensi untuk diaplikasikan pada skala industri di rantau ASEAN bagi mengurangkan impak pelepasan karbon daripada sektor perindustrian dan tenaga.
“Saya berharap agar kajian seperti ini dapat menyumbang kepada usaha kolektif menangani perubahan iklim serta memperkukuh daya tahan rantau ASEAN,” katanya.
Umi Fazara berkata beliau sedang menjalin kerjasama dengan Petronas untuk meneroka potensi mikroalga sebagai bahan mentah dalam penghasilan bahan api biologi yang boleh menggantikan bahan bakar fosil dan kerjasama itu dibiayai Petronas selama dua tahun.
“Dengan keupayaan mikroalga untuk berkembang dengan cepat dan menghasilkan minyak yang kaya dengan asid lemak, ia menawarkan alternatif yang lebih mesra alam dalam penghasilan tenaga. Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha global untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar fosil dan mengurangkan kesan buruk perubahan iklim,” katanya.
-- BERNAMA