ASEAN ADAKAN MESYUARAT KHAS TERGEMPAR BINCANG KESAN GEMPA BUMI DI MYANMAR DAN THAILAND

Kredit : FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan
30/03/2025 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 menganjurkan Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad berikutan gempa bumi di Myanmar dan Thailand.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, mempengerusikan mesyuarat itu menerusi sidang video, yang turut dihadiri Menteri-Menteri Luar ASEAN atau wakil mereka serta Menteri Luar Timor-Leste sebagai Pemerhati.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, serta Menteri Luar Timor-Leste sebagai pemerhati.  

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa mesyuarat itu mencerminkan semangat kesatuan dan solidariti ASEAN.  

"Menteri-Menteri Luar ASEAN merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada negara Myanmar dan Thailand, khususnya kepada para mangsa, keluarga mereka, serta semua yang terjejas akibat tragedi itu.

"Mereka turut mengulangi sokongan dan solidariti yang teguh kepada Myanmar dan Thailand serta menekankan bahawa Keluarga ASEAN berdiri teguh bersama kedua-dua negara dalam usaha menangani kesan gempa bumi ini.

"Menteri-Menteri Luar ASEAN bersetuju untuk terus menggerakkan bantuan kemanusiaan yang akan diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), dengan makluman berkala daripada Setiausaha Agung ASEAN.

"Mereka turut bersetuju bahawa tragedi ini memperlihatkan keperluan mendesak bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan ketahanan bencana di peringkat serantau," menurut kenyataan itu.  

Dalam hal ini, mereka mengulangi komitmen untuk memperkukuh mekanisme tindak balas bencana ASEAN.

Sementara itu, Myanmar dan Thailand merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Negara-Negara Anggota atas solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan serta bantuan pantas untuk operasi mencari dan menyelamat.

Timbalan Pengarah Eksekutif AHA Centre, Krishna Putra Tanaja turut memberi taklimat dalam mesyuarat itu mengenai usaha ASEAN serta perkembangan situasi di lapangan selepas gempa bumi.  

Dalam satu kenyataan, Sekretariat ASEAN menegaskan bahawa mesyuarat itu menekankan solidariti ASEAN dalam menghadapi bencana serta komitmen untuk menyediakan bantuan serta usaha pemulihan yang penting.  

"ASEAN menegaskan sokongannya terhadap usaha bantuan dan pemulihan berdasarkan keutamaan yang dikenal pasti oleh Myanmar, dengan bantuan daripada AHA Centre," menurut kenyataan itu.  

-- BERNAMA