ANWAR, PM VIETNAM BINCANG ISU TARIF AS
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Vietnam Pham Minh Chinh mengadakan perbincangan mengenai tindakan bersama ASEAN terhadap tarif perdagangan sepihak yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
“Kami sepakat untuk mengutamakan rundingan dan mengelakkan pertelingkahan, dengan matlamat mencapai penyelesaian yang adil demi kepentingan semua negara anggota ASEAN,” kata beliau menerusi hantaran di laman sosialnya hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau dan Pham turut menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama serantau dan mempelbagaikan rantaian bekalan bagi meningkatkan daya tahan ekonomi ASEAN.
“Selain itu, kami membincangkan keadaan di Myanmar dan bersetuju bahawa ASEAN perlu berunding dengan semua pihak berkepentingan bagi mencapai penyelesaian yang inklusif dan aman.” kata beliau.
-- BERNAMA