ASEAN PERLU PERCEPAT USAHA INTEGRASI EKONOMI - PM SINGAPURA

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong. Foto: Reuters
16/04/2025 10:31 PM

SINGAPURA, 16 April (Bernama) -- Singapura menyeru pengintegrasian ekonomi di ASEAN dipercepatkan, dengan menggesa blok itu untuk menyasarkan penghapusan 100 peratus tarif di seluruh rantau ini, meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, dan seterusnya mengurangkan halangan bukan tarif bagi membolehkan operasi perniagaan yang lebih lancar di seluruh rantau ini.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata kumpulan 10 negara anggota itu juga perlu mempercepat pembangunan Grid Tenaga ASEAN untuk menyokong peralihan rantau ini kepada tenaga hijau, menarik pelaburan baharu, mewujudkan pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan keselamatan tenaga kolektif.

“Kita juga perlu memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN dan menambah baik perjanjian perdagangan bebas kita dengan rakan utama seperti China, India dan Korea Selatan,” katanya ketika berucap dalam S. Rajaratnam Lecture hari ini.

Sementara itu, sebagai tindak balas terhadap cabaran global yang semakin meningkat, Wong yang juga Menteri Kewangan berkata Singapura akan terus berperanan aktif dalam pengurusan sumber global bersama dan memperkukuh kerjasama antarabangsa.

Langkah ini termasuk meneroka kerjasama yang lebih mendalam antara Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kesatuan Eropah (EU), katanya.

“Gabungan CPTPP dan EU mewakili kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

“Perkongsian rasmi antara kedua-dua entiti ini boleh mempermudah aliran perdagangan dan pelaburan serta membantu mendukung prinsip utama sistem perdagangan berasaskan peraturan,” katanya.

Wong menegaskan bahawa ASEAN kekal sebagai pusat dasar luar Singapura memandangkan negara itu berikrar untuk memperjuangkan perpaduan dan integrasi serantau yang lebih mendalam di tengah-tengah perkembangan global yang menjejaskan.

Beliau berkata perpaduan serantau menjadi lebih penting berbanding sebelum ini dalam keadaan dunia yang semakin terasing.

“Sekiranya ASEAN berupaya untuk kekal bersatu dan proaktif, ia akan membantu kesemua 10 negara anggota mengharungi ketegangan geopolitik dan mengekalkan perkaitan kolektif kita,” katanya.

Wong berkata Singapura akan bekerjasama dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada masa ini, dan rakan kongsi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk menterjemahkan visi Prospek ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) kepada projek dan inisiatif yang konkrit.

Seiring dengan matlamat EAS, AOIP menekankan keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama, dan secara jelasnya menolak persaingan zero-sum (keadaan apabila kekalahan sesuatu pihak merupakan kemenangan bagi pihak lain) atau dominasi oleh mana-mana kuasa tunggal, katanya.

Selain mengekalkan fokus terhadap Asia Tenggara, Singapura akan menyalurkan lebih banyak sumber kepada negara yang lebih jauh termasuk Afrika, Timur Tengah, Amerika Latin, Pasifik dan Caribbean serta memperluas usaha dalam bidang baharu seperti ekonomi digital dan tenaga boleh baharu.

“Melalui usaha ini, kami berharap dapat menjadi pihak berkepentingan bertanggungjawab yang membantu membentuk persekitaran global yang lebih stabil, berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA