MALAYSIA, CHINA JALIN KERJASAMA PERKUKUH AI DAN EKONOMI DIGITAL

Menteri Digital Gobind Singh Deo
17/04/2025 11:57 AM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Malaysia dan China bersetuju untuk mempromosikan dan membangunkan ekonomi digital kedua-dua negara di samping memperkukuh kerjasama dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ini susulan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China  (NDRC) yang berlangsung di sini semalam.

Menteri Digital Gobind Singh Deo mewakili Malaysia manakala NDRC diwakili Pengerusinya Zheng Shanjie pada majlis yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping.

Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi MoU yang berkaitan dengan ekonomi digital, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam beberapa bidang termasuk penyelarasan dasar dan peraturan, transformasi digital industri, inovasi teknologi digital serta pembangunan bakat.

"Kerjasama ini juga akan melibatkan pelaksanaan projek tertentu antara Malaysia dan NDRC bagi menggalakkan kerjasama antara bandar dan perusahaan.

"Satu ‘Kumpulan Kerja Bersama mengenai Ekonomi Digital’ akan ditubuhkan yang terdiri daripada wakil Pentadbiran Data Negara China dan Kementerian Digital Malaysia," menurut kenyataan itu.

Kementerian Digital memaklumkan bagi MoU berkaitan AI pula, kedua-dua pihak akan berusaha untuk memperkukuh teknologi berkenaan melalui program pertukaran teknikal serta meneroka kerjasama dalam mempertingkatkan infrastruktur AI, termasuk pembangunan set data dan kemudahan AI yang lain.

“Kedua-dua pihak akan bertukar panduan etika AI dan berkongsi pengalaman bagi memajukan penggunaan AI dalam pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan terpilih, meneroka pendekatan untuk menangani risiko keselamatan AI, serta meningkatkan literasi awam berkaitan pengetahuan dan kemahiran profesional berkaitan AI,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Digital memaklumkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Universiti Zhejiang dari China juga akan menjalinkan kerjasama susulan pemeteraian Surat Hasrat (LOI) antara kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini akan menyaksikan MDEC dan Universiti Zhejiang membangunkan dan mewujudkan kerjasama dalam bidang transformasi digital, AI dan bandar pintar. Universiti Zhejiang terkenal kerana melahirkan pelopor masa hadapan berdasarkan Model Zhejiang,” menurut kenyataan itu.

Gobind dalam kenyataan sama berkata pemeteraian dua MoU dan LOI ini merupakan langkah ke arah yang betul selari dalam usaha kerajaan untuk mempercepatkan transformasi digital negara.

“Ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI.

“Kerjasama yang bersifat praktikal dalam infrastruktur digital, AI, inovasi teknologi, pembangunan dan penggunaan data, pertumbuhan industri digital dan pertukaran bakat adalah penting untuk memastikan ekosistem digital Malaysia lengkap dalam semua aspek - termasuk infrastruktur, keselamatan siber dan tenaga kerja - bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi digital yang pesat berkembang,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Gobind berkata Malaysia, bersama NDRC dan Universiti Zhejiang akan menyokong usaha negara untuk menerajui perbincangan serta inisiatif digital, termasuk apabila negara menjadi tuan rumah Smart City Expo Kuala Lumpur yang julung kali diadakan pada September.

--BERNAMA