PM ANWAR TEKANKAN PELUANG PELABURAN DI MALAYSIA KEPADA PEMIMPIN PERNIAGAAN THAILAND
Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 17 April (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 komited untuk meningkatkan kesalinghubungan dan kerjasama serantau dalam kalangan negara anggota ASEAN, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menekankan mengenai komitmen Malaysia untuk menarik pelaburan mampan yang memberikan kesan limpahan positif kepada ekonomi negara.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 komited untuk memupuk sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, inklusif dan berorientasi rakyat yang diintegrasikan dengan lancar kepada ekonomi global.
“Ini termasuk memperteguh hubungan dengan negara jiran seperti Thailand,” kata beliau kepada pemimpin perniagaan Thailand dalam satu pertemuan di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia berpandukan kepada dasar ekonomi yang teguh termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS).
Menurut Perdana Menteri inisiatif ini bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menambah baik kemampuan rantaian bekalan tempatan dalam memenuhi permintaan sektor utama Malaysia yang semakin berkembang.
“Malaysia bersedia untuk membantu pelabur Thailand yang berminat untuk melaksanakan projek pelaburan berkualiti di negara ini khususnya dalam aktiviti nilai tambah tinggi dalam sektor yang disasarkan,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut menekankan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang ideal dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), automotif (kenderaan elektrik), kimia, bahan termaju, ekonomi digital, tenaga boleh baharu, pemerangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), aeroangkasa, farmaseutikal dan peranti perubatan.
Beliau yang dalam lawatan kerja dua hari ke Thailand bermula hari ini turut mengadakan pertemuan satu dengan satu bersama-sama pemimpin industri Thailand termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Thai Charoen Corp (TCC) Thapana Sirivadhanabhakdi, Pengasas dan Pengerusi kumpulan Minor International (MINT) William Ellwood Heinecke serta CEO dan Presiden PTT Public Company Ltd Dr Kongkrapan Intarajang.
Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra di Government House.
Anggota delegasi beliau termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan perwakilan khas ASEAN ke Myanmar Tan Sri Othman Hashim.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, pada 2024, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di dunia dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).
Antara Januari dan Februari tahun ini, perdagangan dua hala berjumlah US$3.96 bilion (RM17.65 bilion), meningkat daripada US$3.67 bilion (RM16.80 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2024.
-- BERNAMA