KEPENGERUSIAN ASEAN: MALAYSIA KOMITED PACU PELAKSANAAN DEFA - GOBIND

Menteri Digital Gobind Singh Deo ditemubual menerusi program ASEAN: Dari Kuala Lumpur ke Dunia terbitan Bernama TV baru-baru ini.
17/04/2025 11:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 April  (Bernama) -- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, komited untuk memastikan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo. 

Beliau berkata ini penting kerana perjanjian berkenaan membawa potensi besar kepada ekonomi digital serantau yang dianggarkan mampu mencecah US$2 trilion menjelang 2030.

Sehubungan itu, melalui hubungan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin serantau ASEAN, beliau percaya usaha mencapai kata sepakat mengenai perjanjian itu mungkin dapat dipercepatkan. 

“Hubungan rapat beliau dengan pimpinan negara ASEAN menjadi satu kekuatan kerana apabila ada persahabatan itu, perbincangan boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah awal supaya perjanjian dapat dilaksanakan secepatnya bagi memberi impak ekonomi, bukan sahaja Malaysia tetapi serantau dalam masa terdekat,” katanya.

Gobind berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program ASEAN:Dari Kuala Lumpur Ke Dunia, terbitan Bernama TV yang disiarkan malam ini bagi membincangkan era digital ASEAN dan usaha digitalisasi ASEAN dalam pelbagai perkara.

Menurut Gobind perjanjian DEFA yang mementingkan ekosistem dinamik untuk ekonomi digital termasuk penyediaan infrastruktur, penerapan e-dagang, keselamatan siber, penggunaan teknologi pembayaran digital serta dasar transformasi digital seperti e-invois telah lama dibincangkan sejak beberapa tahun lepas.

“Bagaimanapun terdapat masalah tertentu kerana setiap negara ada cabaran berlainan. Ada negara kuat dalam aspek tertentu, ada negara masih perlukan masa kerana kurang bersedia dalam aspek sambungan Internet dan ekosistem digital menyeluruh.

“Jadi itu adalah fokus Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN supaya kita dapat meneliti mekanisme bagaimana negara yang sudah bersedia (dengan infrastruktur) boleh bergerak dahulu sementara negara lain membina kapasiti mereka atau adakah terdapat pilihan lain,” katanya. 

DEFA disifatkan sebagai perjanjian ekonomi digital serantau pertama di dunia, menyasarkan untuk mempercepat transformasi ASEAN menjadi ekonomi digital terkemuka, memupuk kerjasama digital yang lebih besar dan membuka jalan bagi integrasi digital serantau serta pertumbuhan dan pembangunan inklusif.

Mengenai bagaimana Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) berperanan mengukuhkan kerjasama digital, Gobind memaklumkan ia membantu kalangan negara anggota membincangkan cabaran semasa serta merangka pelan tindakan dalam menghadapi masa depan digital.

Ini termasuk berhubung isu penipuan dalam talian dan cabaran maklumat tidak sahih yang semakin menular dalam ekosistem digital serantau.

“Scam dalam talian ini kini menjadi masalah besar yang merentas sempadan. Ramai menjadi mangsa dan pelakunya pula sering kali bukan dari negara yang berlaku masalah ini (negara mangsa).

“Jadi kita perlu melihat bagaimana mahu wujudkan struktur serantau yang boleh tangani isu ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata menerusi ADGMIN, Malaysia sangat menekankan keperluan untuk setiap negara ASEAN memiliki mekanisme komunikasi dan tindakan bersama dalam menangani jenayah digital serta memastikan pengguna berasa selamat dalam menggunakan platform digital.

Selain itu, isu ketepatan maklumat juga dibincangkan secara serius dalam mesyuarat terbabit.

“Kita sedar platform digital memberi akses luas kepada maklumat. Tetapi kita mahu juga maklumat yang dikongsi adalah tepat, benar, sahih dan telah disemak sebelum disalurkan kepada masyarakat dan negara lain kerana sekarang tumpuan lebih terarah kepada mahu maklumat dikeluarkan secepatnya.

“Di situ, terdapat kemungkinan berlaku maklumat tidak tepat atau salah. Jadi kita mahu pastikan ia betul supaya keputusan yang kita buat berdasarkan maklumat itu untuk urusan perniagaan, pentadbiran kerajaan atau kehidupan harian rakyat juga betul,” katanya.

-- BERNAMA