PEMIMPIN MYANMAR KOMITED GENCATAN SENJATA, JAMIN KESELAMATAN PETUGAS KEMANUSIAAN – PM ANWAR

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja dua hari ke Bangkok, Thailand. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kanan), Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua, kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin (kiri) dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Bong Yik Jui (kanan). -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
18/04/2025 03:50 PM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 18 April (Bernama) -- Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, dan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar Mahn Win Khaing Than, telah berjanji untuk melanjutkan gencatan senjata di negara itu dan memastikan keselamatan petugas kemanusiaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Malaysia berkata jaminan tersebut diberikan selepas perbincangan berasingan dengan kedua-dua pihak semasa lawatan rasmi beliau ke Thailand.

“Saya merayu kepada kedua-dua pemimpin untuk memastikan keamanan, mengelakkan konflik baharu, dan mengurangkan kehadiran tentera, kerana ini adalah perkara penting bagi kejayaan usaha kemanusiaan.

"Petunjuk yang saya terima daripada kedua-duanya ialah mereka komited untuk melanjutkan gencatan senjata. Ini adalah prasyarat yang dikenakan oleh semua pihak yang terlibat dalam operasi kemanusiaan," katanya kepada pemberita pada akhir lawatan kerja selama dua harinya.

Anwar berkata beliau akan segera memaklumkan kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN untuk meningkatkan penyelarasan serantau dan membolehkan lebih ramai petugas dari negara anggota mengambil bahagian dalam operasi bantuan.

"Mereka telah berjanji untuk mematuhi komitmen masing-masing. Gencatan senjata akan dilaksanakan dan tiada sebarang provokasi yang tidak perlu. Jika tidak, keseluruhan usaha kemanusiaan ini mungkin gagal,” katanya.

Anwar turut mengalu-alukan langkah terbaharu yang diambil untuk meredakan ketegangan di Myanmar, termasuk pembebasan hampir 4,900 tahanan pada malam Rabu.

“Ia merupakan petanda positif yang menunjukkan kemahuan baik, sekali gus berpotensi membolehkan ASEAN menjalinkan kerjasama yang lebih bermakna dengan mereka. Dalam perbincangan, saya tekankan kepentingan menghentikan pertempuran dan memastikan misi kemanusiaan dapat merangkumi seluruh Myanmar tanpa mengira wilayah atau kecenderungan politik yang terlibat. Saya telah menerima jaminan berhubung perkara ini,” katanya.

Malaysia memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan, bermula dengan penugasan pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART). Sebuah hospital medan Malaysia turut didirikan di Myanmar, yang dikendalikan oleh petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Min Aung Hlaing, yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Keesokan paginya, Anwar mengadakan pertemuan secara maya dengan Mahn Win Khaing Than, untuk membincangkan keperluan kemanusiaan Myanmar yang semakin mendesak.

Media rasmi Myanmar melaporkan bahawa kerajaan tentera negara itu memberikan pengampunan kepada hampir 4,900 banduan sempena sambutan Tahun Baharu tradisional. Sebuah badan pemantau bebas memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 22 daripada individu yang dibebaskan merupakan tahanan politik.

Hanya dua hari selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar tengah pada 28 Mac, Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) telah digerakkan ke Naypyidaw di bawah Operasi Starlight III untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menyalurkan bantuan.

Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar melaporkan sebanyak 109 gegaran susulan sejak gempa pertama berlaku, termasuk satu gegaran berukuran 6.4 magnitud.

Bencana tersebut meragut lebih 3,600 nyawa, mencederakan lebih 4,800 orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 141 individu masih hilang. Dianggarkan seramai sembilan juta penduduk, termasuk 2.7 juta kanak-kanak, terjejas teruk di 58 perbandaran merangkumi Bago Timur, Kayin, Magway, Mandalay, Nay Pyi Taw, Shan Selatan, dan Sagaing.

-- BERNAMA