FESTIVAL UNGGAS ASEAN KUKUHKAN JALINAN KOMUNITI SERUMPUN DI KELANTAN

Sebahagian ayam ratu yang bertanding sempena Festival Unggas Asean 2025 di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa hari ini. Festival yang julung kali diadakan di Kelantan ini menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti negara anggota apabila menerima hampir seribu penyertaan. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
03/05/2025 08:24 PM

KOTA BHARU, 3 Mei (Bernama) -- Festival Unggas ASEAN 2025 anjuran kerajaan negeri Kelantan yang julung kali diadakan hari ini, menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti negara anggota apabila menerima hampir 1,000 penyertaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata penganjuran festival itu juga, merupakan usaha kerajaan negeri memperkenalkan Kelantan di peringkat antarabangsa.

“Kami sangat berpuas hati dengan sambutan yang diterima…Ia menggambarkan perkongsian minat yang sama dalam pertandingan, sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan serta membuka peluang kepada peminat unggas untuk menjana pendapatan dan mengukuhkan hubungan antara negara ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Unggas ASEAN 2025, di sini, hari ini.

Juri-juri membuat penilaian setiap ayam ratu yang bertanding dalam Pertandingan Ayam Ratu pada Festival Unggas Asean 2025 di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa hari ini. Festival yang julung kali diadakan di Kelantan ini menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti negara anggota apabila menerima hampir seribu penyertaan. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Festival tersebut menampilkan lima kategori pertandingan iaitu burung ketitir, tekukur, candik, ayam serama dan ayam ratu dan akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan tahunan negeri.

Kamarudin berkata festival itu, menerima penyertaan tertinggi dari Thailand iaitu seramai 100 peserta, diikuti Indonesia (10), Singapura (lima) dan Brunei (dua).

Sementara itu, pemenang kategori seni suara burung ketitir Sabri Ab Latif, 51, dari Pattani, Thailand berkata beliau mula berkunjung ke Kelantan sejak berusia 25 tahun, kerana minat terhadap unggas tersebut.

Peserta dari Pattani, Thailand Sabri Ab Latif, 51, dinobatkan sebagai juara pertandingan suara burung ketitir kategori BB1 pada Festival Unggas Asean 2025 di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa hari ini. Festival yang julung kali diadakan di Kelantan ini menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti negara anggota apabila menerima hampir seribu penyertaan. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sabri yang memelihara 30 ekor burung ketitir berkata melalui hobi itu beliau berjaya mewujudkan jaringan kenalan di seluruh negara, terutamanya di Kelantan, malah ramai yang mendapatkan benih kacukan daripada ternakannya.

“Aktiviti ini bukan sahaja hobi yang menguntungkan, tetapi juga wadah untuk mengenali budaya dan kesenian negara-negara ASEAN termasuk Malaysia,” katanya.

Juara kategori burung tekukur Nordin Lae Mina, 42, dari Songkla, Thailand pula berkata beliau mula belajar bahasa Melayu selepas beberapa kali menyertai pertandingan burung di Malaysia.

Suasana semasa Pertandingan Ayam Ratu yang bertanding pada Festival Unggas Asean 2025 di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa hari ini. Festival yang julung kali diadakan di Kelantan ini menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti negara anggota apabila menerima hampir seribu penyertaan. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Sebelum ini saya langsung tidak faham bahasa Melayu, namun selepas beberapa tahun menyertai pelbagai pertandingan di Malaysia, saya mula menguasainya,” katanya.

Bekas guru itu kini mengusahakan penternakan burung secara sepenuh masa dan memiliki hampir 200 ekor unggas kerana minat mendalam dalam bidang tersebut.

-- BERNAMA