YPA PERLU JADI NILAI TAMBAH KEPADA AIPA - JOHARI ABDUL
KLANG, 6 Mei (Bernama) -- Ahli Parlimen Muda Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (YPA) perlu menjadi nilai tambah kepada Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dalam memberikan idea menerusi perbincangan yang berkesan demi menjamin kemakmuran di rantau ini.
Presiden AIPA Tan Sri Johari Abdul berkata antara isu penting yang perlu diberikan penekanan ialah tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan pendigitalan serta penerapan kecerdasan buatan yang dilihat sebagai aspek utama pengukuhan negara-negara di rantau ini.
“Kita harus memikirkan perkara secara jangka panjang dan untuk mendapatkan faedah jangka panjang itu mesti ada strategi yang betul sekarang. Jika tidak, kita tidak mungkin mencapai matlamat jangka panjang sekiranya tidak ada persediaan awal daripada sekarang.
“Maknanya pertukaran akademia, universiti, pelajar dan sebagainya itu penting dan ini antara fokus kita kerana kita rasakan mesyuarat dalam kalangan ahli parlimen muda pagi ini, pada penghujung hari mereka adalah pembuat dasar, mereka yang akan menentukan masa depan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perundingan Ke-2 YPA di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung AIPA Siti Rozaimeriyanty Abdul Rahman, Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San dan Ahli Parlimen Paya Besar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Ekonomi dan Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Majlis pada hari ini turut menyaksikan Mohd Shahar dilantik sebagai Pengerusi YPA dan dijadualkan untuk membentangkan tema mesyuarat berkenaan pada sesi plenari di sebelah petang.
-- BERNAMA