TEO ADAKAN MESYUARAT DUA HALA DI BRUNEI

07/05/2025 08:59 PM

Daripada Aisha Hani Nor Azmir

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan dari Kemboja dan Brunei sempena Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (AMRI) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan, di sini hari ini. 

Mesyuarat Teo bersama Menteri Maklumat Kemboja Neth Pheaktra, yang berlangsung kira-kira 40 minit, antara lain membincangkan pertukaran pengalaman kedua-dua negara dalam menangani berita palsu, buli siber, maklumat salah dan maklumat palsu di media sosial, serta etika penggunaan kecerdasan buatan (AI) di peringkat nasional.

Kedua-dua pemimpin turut berbincang secara mendalam mengenai kepentingan mengawal selia media sosial, termasuk mekanisme seperti pelesenan dan kod etika selain memperkukuh kerjasama antara kementerian berkenaan, khususnya dalam pertukaran berita, amalan media, dan teknologi komunikasi.

Mereka bersama-sama mengakui bahawa usaha membanteras maklumat palsu dapat ditangani dengan berkesan melalui pemantauan kandungan serta kawal selia kendiri, dengan kerjasama platform dalam talian bagi mengemas kini garis panduan dan menyelaraskan dasar yang berkaitan.

Kedua-dua pemimpin itu turut menyuarkan kebimbingan mereka terhadap penggunaan media sosial dalam aktiviti penipuan dan penyebaran maklumat palsu yang berleluasa, kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Dalam mesyuarat tersebut, Teo menyatakan Malaysia sedang melaksanakan pelesenan media sosial di bawah kerangka kawal selia baharu, antaranya bagi memastikan platform digital yang lebih selamat melalui peningkatan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna serta memperkukuh pengawasan terhadap platform media sosial dan pemesejan Internet.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Halbi Mohd Yussof menyuarakan sokongan beliau terhadap kerjasama serantau lebih kukuh dalam menangani cabaran digital.

Beliau turut berharap kerjasama dan inisiatif bersama antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan, sekali gus memperkukuh usaha kolektif rantau ini ke arah membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Kedua-dua mesyuarat dua hala itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) Muhammad Najmi Mustapha dan Ketua Pegawai Korporat dan Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Syahrilazli Mahammad.

Turut serta dalam mesyuarat itu Pengarah II MCMC (ASEAN dan Dua Hala) Fatin Nabiha Ab Aziz, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak serta pegawai kanan lain daripada Kementerian Komunikasi dan agensinya.

Kemboja dan Brunei antara negara anggota ASEAN yang menyertai AMRI ke-17, yang diadakan di sebuah hotel di sini dan berakhir hari ini. Teo dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama wakil China, esok.

-- BERNAMA