ACO PERKASA JARINGAN KOPERASI ASEAN, PACU SEKTOR KETIGA EKONOMI SERANTAU

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangkap Presiden Organisasi Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Sektoral ASEAN Co-operative Organization (ACO) 2025. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
12/05/2025 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) akan terus memperkukuh jaringan perniagaan koperasi dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi memperkasakan peranan entiti itu sebagai sektor ketiga dalam pertumbuhan ekonomi serantau.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pada masa ini terdapat 300,000 koperasi di rantau ASEAN dengan keanggotaan seramai 65.7 juta orang, menyumbang kira-kira 10 peratus atau US$300 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara di rantau itu.

“Matlamat kita adalah untuk mengangkat peranan koperasi di ASEAN sebagai sektor ketiga yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi sesebuah negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangkap Presiden Organisasi Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah (tengah) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Timbalan Presiden Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN), Dr Agung Sudjatmoko (dua, kiri) dan Pengerusi Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB), Saad Ishak pada Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Sektoral ASEAN Co-operative Organization (ACO) 2025. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

“ACO amat yakin dengan kerajaan Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN, untuk mengetengahkan isu peranan dan sumbangan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara anggota secara lebih kukuh,” katanya.

Abdul Fattah yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Sektoral ACO 2025 di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan yang disertai 10 pemimpin koperasi dari negara ASEAN diadakan bersempena Dialog Koperasi ASEAN (ACD 2025) yang berlangsung selama dua hari bermula esok.

ACD 2025 dianjurkan oleh ANGKASA dengan sokongan penuh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menghimpunkan badan koperasi utama dari seluruh rantau ASEAN.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata memorandum persefahaman (MoU) antara Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) dan Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN) yang dimeterai hari ini memberi tumpuan kepada kerjasama pengembangan perniagaan koperasi, khususnya dalam sektor pelancongan.

“Menerusi kerjasama ini, KKAIMB berpeluang memanfaatkan jaringan dan rangkaian DEKOPIN untuk meneroka peluang pelaburan serta pasaran pelancongan koperasi di Indonesia.

“Ini juga membuktikan bahawa hubungan erat antara koperasi Malaysia dan Indonesia mampu memberi manfaat serta impak ekonomi yang lebih meluas kepada komuniti koperasi kedua-dua negara,” katanya.

-- BERNAMA