PM ANWAR PIMPIN USAHA STRATEGIK ASEAN-GCC TANGANI I KRISIS GAZA

09/06/2025 11:11 AM

Oleh Sakini Mohd Said & R.Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi menangani konflik Gaza disifatkan sebagai langkah strategik, realistik serta mencerminkan kepimpinan berpandangan jauh dalam mendepani cabaran geopolitik serantau.

Penganalisis politik antarabangsa Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata krisis kemanusiaan di Gaza tidak boleh diselesaikan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan komitmen kolektif dan kerjasama kuasa-kuasa berkepentingan di peringkat serantau dan global.

“Kita tak boleh bergerak bersendirian. Jadi, yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri adalah menggembleng kekuatan ASEAN secara kolektif.

“Pada masa sama, menjalin sinergi dengan negara-negara Teluk yang sudah pun terlibat secara aktif dalam proses damai seperti Qatar dan Arab Saudi,” katanya kepada Bernama.

Azizuddin yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Utara Malaysia, menjelaskan pendekatan itu memperlihatkan kesungguhan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk menjadikan blok serantau itu lebih proaktif dalam isu-isu global, khususnya berkaitan kemanusiaan.

Malaysia sebelum ini menyatakan rasa amat kesal terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi gencatan senjata kekal dan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza, susulan penggunaan kuasa veto oleh anggota tetapnya.

Menurut laporan media antarabangsa, serangan berterusan rejim Zionis sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 54,000 nyawa rakyat Palestin, menjadikan konflik itu antara krisis kemanusiaan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Mengulas lanjut, Azizuddin berkata keterlibatan ASEAN dalam konflik luar rantau seperti Gaza adalah perubahan dasar yang signifikan, memandangkan selama ini ASEAN lebih menumpukan perhatian terhadap isu serantau seperti krisis Myanmar dan Laut China Selatan.

“Sudah sampai masanya ASEAN memainkan peranan lebih luas, bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi juga dalam menyumbang kepada penyelesaian konflik global.

“Gaza menjadi medan penting untuk ASEAN membuktikan kemampuannya sebagai pemain geopolitik dunia,"

“Dengan jalinan kerjasama bersama GCC, dan mungkin juga melibatkan China, ASEAN boleh menjadi pemain penting dalam isu ini,” katanya merujuk kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama pada 27 Mei lalu yang lebih tertumpu kepada aspek ekonomi dan pelaburan.

Sementara itu, Pengarah Asia Institute di Universiti Tasmania, Prof. Dr. James Chin menyifatkan pengaruh ASEAN dalam isu Gaza sebagai terhad kerana konflik tersebut melibatkan kuasa besar dan dilihat lebih sebagai isu dunia Arab.

“Kerjasama strategik antara ASEAN dan GCC ini bukan semata-mata tertumpu kepada Gaza. ASEAN sedar keterbatasan kapasitinya untuk bertindak lebih daripada sekadar kenyataan. Namun, sokongan berterusan terhadap penyelesaian dua negara masih menjadi pendirian yang realistik dan berprinsip,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar hubungan antarabangsa dan keselamatan Dr. Nor Aishah Hanifa pula menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang konsisten dan komited memperjuangkan isu kemanusiaan Palestin di pelbagai forum antarabangsa.

“Beliau menggunakan segala platform serantau dan antarabangsa untuk menuntut keamanan di Gaza. Walaupun negara-negara GCC juga berkongsi aspirasi tersebut, mereka masih perlu mengimbangi kepentingan nasional masing-masing,” jelas beliau.

Usaha berterusan Malaysia mengangkat isu Gaza di pentas antarabangsa dilihat sebagai manifestasi iltizam negara untuk membela keadilan dan hak asasi sejagat, selaras dengan dasar luar negara yang berprinsip.

-- BERNAMA