PM ANWAR BERLEPAS DARI KLIA UNTUK LAWATAN KE TIGA NEGARA
SEPANG, 1 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini bagi memulakan lawatan ke negara Itali, Perancis dan Brazil.
Pesawat sewa Penerbangan Malaysia yang membawa perdana menteri dan delegasi itu berlepas dari KLIA pada 2.15 petang.
Siri lawatan perdana menteri ini bermula dengan lawatan rasmi tiga hari ke Itali, yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala di samping menggalakkan kerjasama ekonomi di peringkat global.
Lawatan ke hab ekonomi utama ini - Rom, Paris, dan Rio de Janeiro - bertujuan mengukuhkan hubungan diplomatik dan hubungan perdagangan Malaysia dengan negara masing-masing.
Dalam lawatan ini Perdana Menteri turut diiringi oleh delegasi perniagaan, yang merangkumi wakil daripada syarikat-syarikat besar Malaysia, termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Khazanah Nasional Bhd, TNB, Maybank, FGV, YTL Power dan Sunway.
Ketiga-tiga pasaran berkenaan secara kolektif merekodkan perdagangan dua hala bernilai RM50.91 bilion (USD11.14 bilion) tahun lepas.
Lawatan Anwar buat kali pertama ke Itali adalah atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Zahid Rastam semalam, lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara negara merentasi pelbagai sektor.
Semasa di Rom, Perdana Menteri akan diiringi oleh lima menteri Kabinet yang terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Turut sama dalam delegasi itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Di Paris, Perdana Menteri dijadualkan bertemu Presiden Emmanuel Macron, dengan perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu bertumpu kepada aspek perdagangan, teknologi dan pendidikan.
Selain menyertai perbincangan meja bulat dengan gergasi perindustrian Perancis, Perdana Menteri juga akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin Islam tempatan, bertemu rakyat Malaysia di Perancis, dan menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne pada 4 Julai.
Selepas Paris, Anwar akan berada di Rio de Janeiro untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.
Peranan Malaysia sebagai negara rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN untuk 2025 akan menekankan kepentingan multilateralisme berdasarkan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan, tindakan iklim, dan kesihatan global, mewakili aspirasi lebih 650 juta warga ASEAN.
Anwar juga akan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS sebagai negara rakan kongsi dalam blok itu yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan
-- BERNAMA