SIDANG KEMUNCAK ASEAN: LANGKAH KERAJAAN LAKSANA BDR MAMPU DORONG SWASTA TELITI SEMULA DASAR KERJA

14/10/2025 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada penjawat awam untuk bekerja dari rumah semasa Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini mampu mendorong syarikat swasta meneliti semula dasar kerja mereka, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata penilaian semula itu mampu membantu sektor swasta kekal kompetitif dan lebih peka terhadap keperluan tenaga kerja pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau menekankan sebarang pelaksanaan amalan sedemikian dalam sektor swasta perlu dilakukan secara sukarela berlandaskan keperluan perniagaan serta berpandukan pencapaian produktivit.

 “Aturan kerja fleksibel termasuk dasar bekerja dari rumah (BDR), seharusnya kekal sebagai hak prerogatif pihak pengurusan, berdasarkan kepada jenis perniagaan, fungsi tugas dan kebolehlaksanaan operasi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketua jabatan diberi kuasa mempertimbangkan permohonan BDR bagi pegawai yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari pejabat, yang terkesan dengan kesesakan aliran trafik sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.

Syed Hussain berkata meskipun inisiatif sektor awam itu wajar dipuji, sektor swasta berdepan dengan tekanan produktiviti, akauntabiliti dan persaingan berbeza yang perlu diimbangi dengan teliti.

Beliau berkata fleksibiliti tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian yang sesuai untuk semua memandangkan sektor seperti pembuatan, logistik, penjagaan kesihatan, pembinaan dan peruncitan memerlukan kehadiran fizikal bagi memastikan kecekapan, keselamatan dan kelangsungan perkhidmatan.

“Sebaliknya, industri berasaskan pengetahuan atau berorientasikan perkhidmatan mungkin lebih sesuai dengan pengaturan kerja secara hibrid atau separa dari rumah,” katanya.

Syed Hussain berkata pelaksanaan kerja fleksibel dalam sektor swasta memerlukan penyesuaian dalam pengurusan prestasi, keselamatan siber, struktur komunikasi dan budaya tempat kerja.

“Tanpa kerangka kerja yang jelas dan pencapaian yang boleh diukur, produktiviti berisiko merosot dan semangat kerjasama dalam pasukan mungkin terjejas,” katanya.

Beliau berkata majikan disaran untuk menerapkan fleksibiliti mengikut keperluan operasi sebenar seperti waktu bekerja berselang, minggu kerja dimampatkan atau jadual kerja hibrid, selagi ia tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan atau kelangsungan perniagaan.

-- BERNAMA