ASEAN PERLU PERKUKUH KERJASAMA MAJUKAN GRID KUASA SERANTAU, PERALIHAN TENAGA -- TNB

17/10/2025 03:03 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) meminta negara-negara ASEAN untuk menyelaras peraturan, memodenkan grid tenaga dan mengukuhkan usaha kolektif ke arah peralihannya secara adil dan mampan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata sektor tenaga ASEAN mempunyai matlamat menyokong peralihan tenaga dan pada masa sama memastikan ekonomi rantau ini terus berkembang secara mampan.

“ASEAN mempunyai dua objektif murni iaitu pertama untuk menangani peralihan tenaga sambil memastikan ekonomi yang didorong oleh sektor tenaga terus berkembang.

“Objektif kedua pula memastikan dalam proses pertumbuhan tersebut, kita turut memberi perhatian kepada aspek kemampanan,” katanya kepada Bernama di luar Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di sini.

Megat Jalaluddin berkata kesemua negara anggota ASEAN juga telah menyatakan komitmen kukuh terhadap agenda peralihan tenaga, termasuk Malaysia yang diusahakan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyaksikan TNB berperanan penting sebagai pemacu utama industri.

“Bersandarkan peranan itu, TNB akan menyokong penuh NETR sebagai satu matlamat nasional. Kami juga percaya pelan ini dapat mengetengahkan hala tuju jelas bagaimana untuk melangkah maju,” katanya.

Megat Jalaluddin berkata negara-negara ASEAN juga boleh memanfaatkan platform kerjasama sedia ada seperti Ketua Utiliti/Pihak Berkuasa ASEAN (HAPUA), bagi memperkukuh perancangan sistem tenaga secara bersama.

“Menerusi platform ini, ASEAN mampu mencapai tiga matlama utama iaitu memastikan keterjaminan bekalan, kemampuan dan kemampanan,” kata Megat Jalaluddin.

Beliau berkata usaha memodenkan grid tenaga serantau memerlukan penerapan teknologi secara kolektif dan perkongsian inovasi yang menguntungkan dari segi kos.

“Mungkin pendekatan yang boleh dilaksanakan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri tenaga dengan peralatan yang dipacu AI ini boleh dibangunkan dan dikongsi di peringkat serantau," katanya.

Megat Jalaluddin bagaimanapun mengakui perbezaan peraturan antara negara-negara kekal menjadi cabaran utama, justeru, penyelarasan dan penyeragaman dasar menjadi keperluan utama.

Seterusnya, beliau menggariskan langkah penting yang perlu diutamakan seperti mengenal pasti projek yang mempunyai kepentingan bersama, menggalakkan keyakinan pelaburan rentas sempadan, serta mewujudkan satu hab komersial tunggal bagi perdagangan tenaga elektrik di rantau ini.

“Kita perlu mencapai kata sepakat, sekiranya satu projek seperti Grid Kuasa ASEAN dirancang dan disokong oleh negara-negara berkepentingan, maka projek itu boleh dilaksanakan. Jika tidak, ia tidak akan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif agar pelabur dan penyumbang dana yakin terhadap pulangan jangka panjang, tanpa mengira lokasi pelaburan mereka di ASEAN.

Mengulas pembiayaan, Megat Jalaluddin berkata dana bagi projek tenaga untuk rantau ini bukan satu isu, namun soal kemampuan dan keadilan dalam pengagihan kos perlu ditangani.

"Kita tidak melihat dana sebagai isu di sini. Persoalannya ialah siapa yang akan membayar kos ini? Harga tenaga tidak sama di seluruh ASEAN, terutamanya tenaga hijau, jadi isunya lebih kepada kemampuan untuk membayar,” katanya.

Megat Jalaluddin juga menegaskan bahawa peralihan tenaga perlu dilakukan secara adil dengan memastikan rakyat ASEAN diberi peluang penyertaan yang saksama dalam proses berkenaan.

-- BERNAMA