TIMBALAN PM RUSIA OVERCHUK TIBA DI MALAYSIA UNTUK SIDANG KEMUNCAK BERKAITAN

26/10/2025 06:38 PM

SUBANG, 26 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk tiba di Malaysia hari ini bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan negara selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Pesawat khas yang membawa Overchuk dan delegasi, termasuk Timbalan Menteri Luar Andrei Rudenko, mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini pada 5 petang dan disambut oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Overchuk dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 (EAS) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok.

Malaysia menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN termasuk 30 pemimpin dunia seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan, untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama sambil menangani cabaran serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.

Pemimpin dan wakil daripada badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut hadir untuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi.

-- BERNAMA