INFANTINO UMUMKAN PENGANJURAN PIALA ASEAN FIFA PADA SIDANG KEMUNCAK ASEAN
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino hari ini mengumumkan penganjuran kejohanan bola sepak serantau baharu, Piala ASEAN FIFA, yang akan menghimpunkan 11 negara Asia Tenggara.
Infantino berkata kejohanan itu akan diadakan dalam tempoh Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA bagi memberi impak yang lebih besar terhadap pembangunan bola sepak di rantau ini, yang mempunyai kira-kira 700 juta penduduk.
“Kami melancarkan kejohanan ini bagi memberi lonjakan sebenar kepada bola sepak, menampilkan pemain terbaik dalam kerangka kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, agar ia benar-benar berkesan di rantau ini dan bersinar di pentas global.
Bola sepak menyatukan dunia dan bersama 11 negara ASEAN, kami mencipta Piala ASEAN FIFA — kejohanan yang akan merapatkan rantau ini dan menjadi satu kejayaan besar,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pembangunan bola sepak serantau di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.ur (KLCC), di sini.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Infantino berkata badan induk bola sepak dunia itu bertekad memperkukuh usaha dan memperluas inisiatif pembangunan bola sepak di rantau ini melalui MoU berkenaan.
“Tonggak pertama sudah tentu ialah integriti dalam permainan. Yang kedua, memastikan persekitaran perlawanan yang selamat dan terjamin. Tonggak ketiga ialah pendidikan, memupuk pembelajaran melalui bola sepak serta menggalakkan pembangunan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan serta wanita dan lelaki di seluruh rantau ini.
ASEAN kini mempunyai 11 negara, yang seperti anda tahu, adalah angka ajaib dalam sukan. Sebuah pasukan bola sepak terdiri daripada 11 pemain, jadi kini pasukannya sudah lengkap - bersedia untuk memenangi perlawanan - dan kami di FIFA menantikan kerjasama berterusan dengan ASEAN berasaskan prinsip-prinsip utama ini,” katanya.
Sementara itu, Infantino optimis terhadap inisiatif keamanan terbaharu antara Israel dan Palestin susulan Sidang Kemuncak Sharm el-Sheikh.
Beliau berkata sidang kemuncak itu menandakan langkah penting ke arah perdamaian dan kerjasama global, sambil menambah bahawa semangat keamanan turut dizahirkan hari ini menerusi pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan oleh Anwar serta Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Dari perspektif FIFA, misi kami ialah untuk menyatukan semua pihak, membina dan mengekalkan jambatan antara rakyat serta negara kerana bola sepak dan sukan harus berusaha untuk memupuk perpaduan dan mendekatkan insan. Sekurang-kurangnya melalui sukan, kami mahu mencapai matlamat itu,” katanya.
-- BERNAMA