TRUMP ULANGI KOMITMEN AS KEPADA ASEAN

26/10/2025 07:03 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengulangi komitmen penuh Washington kepada Asia Tenggara, dengan menjanjikan kerjasama yang kukuh dan berpanjangan di bawah apa yang disifatkan beliau sebagai "zaman keemasan Amerika".

Menerusi ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 hari ini, Trump berkata AS kekal berdedikasi untuk memajukan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur serta memperkukuh hubungan dengan negara anggota ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan serantau.

"Saya ingin menyatakan bahawa Amerika Syarikat berada di pihak anda. Kami komited terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur.

"Pesanan saya kepada negara-negara di Asia Tenggara ialah AS seratus peratus berada di pihak anda, dan kami berhasrat menjadi rakan kongsi dan sahabat anda yang kuat untuk generasi akan datang," katanya.

Trump juga berkata pentadbirannya telah memulihkan kekuatan dan kedudukan global Amerika, menyifatkan tempoh sekarang sebagai antara era kejayaan ekonomi yang tiada tandingan dan penglibatan yang aktif di peringkat antarabangsa.

"Setahun lepas, kita berada di tempat yang berbeza namun ketika ini, kita berada pada kedudukan terbaik yang pernah dicapai. Saya benar-benar percaya ini adalah zaman keemasan Amerika," katanya.

Trump berkata AS dan rakan kongsinya di Indo-Pasifik bersedia mewujudkan kemakmuran luar biasa bagi negara-negara yang berada di kedua-dua belah Lautan Pasifik serta merebut peluang untuk rakyat mereka.

"Saya amat berbesar hati dapat kembali ke sini, di tengah-tengah sekutu dan rakan penting Amerika di Asia Tenggara.

"Saya hadir di sini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan, memperkasakan keselamatan bersama dan benar-benar mempromosikan kestabilan, kemakmuran serta keamanan untuk semua sama ada yang di dekat di dalam bilik ini atau yang jauh di luar sana," katanya.

Trump turut memuji Malaysia atas kepimpinan serta layanan mesra di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan berkata lawatan ini memberikan beliau peluang untuk melihat sendiri kemajuan serta pencapaian negara ini.

"Pengalaman saya di sini benar-benar menakjubkan. Saya baru sehari berada di Malaysia namun Perdana Menteri (Anwar) memastikan bahawa saya melihat segalanya, setiap perkara.

"Apabila saya katakan kepada beliau tidak mengapa, saya tidak mahu terburu-buru dan ingin berehat sebentar, beliau berkata tidak boleh, tidak boleh, saya ada benda lain untuk ditunjukkan kepada anda. Memang hebat," katanya yang berkongsi pengalaman menaiki kenderaan bersama dalam perjalanan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Beliau turut menekankan sejarah hubungan AS dengan Asia, yang bermula sejak zaman awal republik itu ketika rakyat negara itu berani menyeberangi Lautan Pasifik untuk mewujudkan hubungan perdagangan dan diplomasi.

"Ikatan itu, yang terjalin sejak sekian lama, terus diperkukuh dan berkembang hingga ke hari ini termasuk di Kuala Lumpur. Saya tidak sabar menantikan saat untuk berbincang dengan kebanyakan daripada anda yang berada di sini dan juga di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu ini," katanya.

Trump turut menyorot pemeteraian perjanjian perdagangan baharu dengan Malaysia serta peranan beliau dalam mempelopori perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Beliau turut merujuk kemajuan dalam perjanjian perdagangan lain di rantau Indo-Pasifik dengan Kemboja, Jepun dan Korea Selatan sambil menambah bahawa AS berbesar hati dapat menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang tenaga, teknologi, kecerdasan buatan, mineral penting dan industri lain.

Presiden AS itu turut memuji kepimpinan Malaysia di bawah Anwar kerana menganjurkan satu hari yang amat berjaya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Trump berkata beliau telah menunaikan janjinya untuk menghadiri sidang kemuncak itu selepas Malaysia memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam usaha damai antara dua negara berjiran yang membawa kepada kelahiran Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Beliau berkat perjanjian damai itu mewakili satu daripada lapan konflik yang diselesaikan dalam tempoh lapan bulan pertama pentadbirannya sebagai Presiden AS termasuk menghentikan perang di Gaza, yang disusuli pemeteraian yang digelarnya sebagai satu perjanjian yang amat kukuh membabitkan 59 negara.

"Majlis menandatangani perjanjian damai hari ini hanyalah satu daripada lapan konflik yang telah kita selesaikan dalam tempoh pentadbiran saya sebagai Presiden AS. Saya amat berbesar hati dapat melakukannya. Kita telah menyelamatkan jutaan nyawa.

"Saya ingin merakamkan penghargaan buat Malaysia dan Brunei serta sahabat saya Presiden Prabowo (Subianto) dari Indonesia, atas sokongan luar biasa mereka dalam kesemua usaha ini untuk membuka lembaran baharu bagi Timur Tengah.

"Timur Tengah akan menikmati keamanan selepas tempoh 3,000 tahun. Ini adalah keamanan yang amat utuh dan ia akan kekal selama-lamanya," katanya. 

-- BERNAMA