MALAYSIA LETAKKAN STANDARD BAHARU KEPENGERUSIAN ASEAN

File Foto
27/10/2025 11:40 AM

 Oleh Senator Dr Zulkifli Hasan

Pada 11 Oktober 2024 di Vientiane, satu upacara simbolik serahan tugas dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memainkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN. Malaysia memulakan kepengerusian ASEAN secara rasmi pada 1 Januari 2025 dan memperkenalkan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Pada September 2024, Kishore Mahbubani, penulis buku the ASEAN Miracle A Catalyst for Peace memberi peringatan tentang marabahaya taufan geopolitik yang akan melanda dunia global, dan peri pentingnya warga ASEAN mengukuhkan saf perpaduan dalam mendepani cabaran yang mendatang.

ASEAN yang dihuni hampir 700 juta penduduk dengan keunikan budaya dan warisan yang menjadi contoh kepada dunia sebagai antara rantau paling aman di dunia perlu mengekalkan keharmonian dan kestabilannya.

 Setelah hampir setahun kepengerusian ASEAN, kita merasa begitu berbangga bahawa Malaysia di bawah kepimpinan YAB PMX, seorang pemimpin berpengalaman luas dan dihormati di peringkat antarabangsa telah berjaya meletakkan standard baharu yang amat tinggi kepada kepengerusian ASEAN.

Tema ASEAN ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ diterjemahkan dengan penuh hikmah meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Semangat dan ruh the Asian Renaissance idea besar YAB PMX yang dicetuskan sejak 1996 kian dirasakan.

 

Sejarah Baharu Tercipta

Malaysia telah memainkan peranan penting merencana dan menstrategikan masa depan ASEAN menerusi dokumen ‘ASEAN Vision 2045: Our Shared Future yang dilancarkan pada 26 Mei 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur.

Visi ASEAN 2045 yang disokong oleh empat pelan strategik ini akan terus memacu transformasi rantau ini untuk terus melangkah lebih jauh dan berdaya saing. Bagi maksud ini, Malaysia sudah pasti akan menjadi antara watak utama dalam ASEAN bagi memperkukuhkan aspek kelestarian serantau dan kerjasama tenaga menerusi pelaksanaan ASEAN Power Grid selain memperkasakan aspek keselamatan, politik, ekonomi dan sosial budaya.

 

Prinsip non-interference

Sejak sekian lama, prinsip non-interference (tidak campur tangan) menjadi mantera keramat di peringkat ASEAN, yang menyaksikan negara-negara anggota lebih memilih untuk menjaga hal ehwal domestik masing-masing walaupun ada perkara yang memberi kesan kepada negara jiran.

Namun dibawah kepimpinan YAB PM, prinsip ini diolah semula ke arah constructive engagement, iaitu dialog konstruktif ke arah mencari penyelesaian konflik, melalui kaedah rundingan dan pujukan (persuasion), tanpa paksaan atau ugutan.

 

Perjanjian Damai Kemboja-Thailand

Antara sumbangan penting yang dimainkan Malaysia yang menjadi bualan masyarakat antarabangsa ialah peranan sebagai orang tengah dalam menjambatani perdamaian antara Kemboja dan Thailand.

Ketegangan antara kedua-dua negara jiran mengenai pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu melarat kepada konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai, namun terhenti selepas perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di Putrajaya pada 28 Julai.

Lebih membanggakan, Malaysia adalah negara Islam contoh menjadi pemudahcara bagi solusi kedamaian dan keamanan kepada dua negara Majoriti Beragama Budha.

Setakat pengetahuan saya, Malaysia satu-satunya negara Islam yang berjaya memainkan peranan strategik dan mendapat pengiktirafan bagi memudahcarakan penyelesaian konflik secara aman antara dua negara Majoriti Bukan Muslim.

Sidang Kemuncak kali ini juga dapat menyaksikan peristiwa bersejarah majlis menandatangani deklarasi hasil rundingan mengenai pertikaian sempadan Kemboja-Thailand disaksikan Presiden Donald Trump yang diharapkan akan menoktahkan perseteruan kedua-dua negara.

Deklarasi ini antara lain menggariskan pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan, pembersihan periuk api, membanteras jenayah rentas sempadan dan pengurusan kawasan sempadan.

 Konflik di Myanmar juga menjadi fokus, yang pada hakikatnya bukan semata-mata krisis domestik, tetapi telah menghinggapi negara-negara jiran khasnya Malaysia dan Thailand yang terpaksa menanggung kira-kira 200,000 pelarian dari negara tersebut. Peranan proaktif YAB PMX telah menyaksikan menghentikan serangan terhadap kawasan-kawasan yang paling terjejas teruk seperti di wilayah Rakhine.

YAB PMX juga merupakan satu-satunya pemimpin di ASEAN yang telah mengadakan dialog dan rundingan dengan kerajaan junta tentera dan National Unity Government of Myanmar. Usaha dialog aktif ini dilaksanakan setelah mendapat persetujuan dan sokongan daripada negara-negara ASEAN lain. Ini membuktikan kepercayaan teguh dan pengiktirafan negara-negara ASEAN terhadap kepimpinan Malaysia.

 

Timor Leste diterima anggota ASEAN

Dalam perkembangan lain, Timor Leste secara rasmi telah diterima sebagai anggota penuh ASEAN. Proses keanggotaan ini telah mengambil masa bertahun-tahun, sejak negara tersebut Timor Leste mula memohon menjadi anggota ASEAN pada tahun 2011.

Hasil usaha yang diterajui Malaysia dengan kerjasama negara-negara ASEAN akhirnya Timor Leste akan secara rasminya akan menjadi negara kesebelas ASEAN.

Malaysia dan Timor-Leste juga telah mencapai kata sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan keselamatan.

Hal ini sekaligus mengotakan tema kepengerusian Malaysia yang mengangkat nilai Keterangkuman (inclusivity), dalam membantu mengintegrasi negara sahabat yang masih bertatih di pencak global.

 

Pelan guna matawang ASEAN

Selain itu, perbincangan ke arah mengurangkan kebergantungan kepada dollar juga mula hangat diperkatakan para penganalisis, di tengah-tengah ketidaktentuan global, kelemahan mata wang dolar US dan meningkatnya perdagangan intra-ASEAN. Pelan ke arah meningkatkan penggunaan mata wang negara ASEAN dalam hubungan dagang dan pelaburan telah dimasukkan ke dalam Economic Community Strategic Plan for 2026 to 2030, khusus bagi melindungi kepentingan ASEAN daripada naik turun kadar tukaran mata wang asing dan meningkatkan ketersambungan sistem pembayaran serantau.

YAB PMX sewaktu berucap dalam satu program BRICS di Rio De Janeiro, Brazil menegaskan perkara ini sebagai salah satu langkah penting dan strategik bagi mengekang dominasi kuasa besar terhadap negara-negara kecil dan membangun.

 

Kehadiran Trump Jadi Tumpuan

Setakat ini, dua Presiden Amerika Syarikat pernah mengunjungi Malaysia iaitu Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966 semasa kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Presiden Barack Obama di era Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran Presiden Donald Trump ke Malaysia pastinya menarik tumpuan dan perhatian seluruh dunia sekaligus satu pengiktirafan tertinggi kepada negara di pentas antarabangsa. 

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sahaja bertindak atas nama negara sendiri, tetapi mewakili seluruh blok serantau.

Menjemput Presiden Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bukan keputusan unilateral Malaysia, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab diplomatik terhadap rakan serantau.

Menolak kehadirannya secara terbuka akan menjejaskan imej Malaysia sebagai tuan rumah dan rakan rundingan yang berprinsip. Seperti ditegaskan oleh YAB PMX, Malaysia harus kekal strategik berpegang pada prinsip kebenaran dan keadilan, sambil menggunakan diplomasi yang berhemah dan bijaksana.

Para ahli ekonomi menjangkakan bahawa isu tarif, nadir bumi dan mineral penting lain akan menjadi antara topik utama perbincangan semasa lawatan Presiden Donald Trump.

Dalam konteks Malaysia, Amerika Syarikat kekal sebagai antara rakan dagang utama Malaysia sejak beberapa dekad lalu. Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport Malaysia ke AS meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM 166.38 bilion, dipacu oleh penghantaran lebih tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan diproses. Sementara itu, import dari AS pula meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun kepada RM104.50 bilion.

 

Mengimbangi Persaingan Adikuasa dan Kepentingan Serantau

Beberapa penganalisis geo-politik memberikan pandangan yang positif terhadap prestasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Malaysia dilihat berjaya mengimbangi kepentingan kuasa besar dunia dalam menangani isu serantau, termasuk konflik di Laut China Selatan dan perselisihan antara negara anggota ASEAN.

Malahan, Profesor Phar Kim Beng, profesor dalam bidang pengajian ASEAN di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengistilahkan seni diplomasi YAB PMX sebagai “quiescent diplomacy” iaitu seni menjadi orang tengah yang bukannya mengejar populariti, tetapi membisikkan secara halus mesej-mesej kedamaian dan keadilan. Mesej yang mengutamakan dialog dengan penuh ketertiban, bukannya hiruk-pikuk pertelingkahan.

Seni inilah yang memberi kredibiliti dan menyuntik keyakinan kuasa besar kepada Malaysia sebagai orang tengah yang boleh dipercayai, yang tidak berpihak dan tidak boleh diarah sesuka hati.

Washington dan Beijing justeru memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi persinggahan sebelum Sidang Kemuncak APEC 2025 di Korea Selatan pada November ini. Sehari sebelum bermula Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, kita sudah menyaksikan pertemuan penting antara Amerika Syarikat dan China.

Rundingan ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat yang berkisar juga tentang tarif telah diadakan pada 25 Oktober 2025 di Menara Merdeka 118 Kuala Lumpur.

Pertemuan yang diwakili Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent dan Naib Perdana Menteri China, He Lifen ini adalah amat penting kerana apa-apa keputusan antara dua kuasa besar ini pasti akan memberi impak kepada dunia termasuk Malaysia.

Malaysia dipilih bukan semata-mata kerana lokasinya yang strategik, tetapi kerana berupaya menjadi ‘regional centrality’ menerusi posisi neutral berprinsip yang diamalkan sejak sekian lama.

Sekiranya mesyuarat di Kuala Lumpur kelak berjaya meredakan ketegangan tarif dan mententeramkan sedikit sebanyak persaingan antara Washington dan Beijing, rantau ASEAN bahkan dunia pastinya akan mendapat manfaat melalui pengukuhan ekonomi dan pasaran, keyakinan pelabur serta pengintegrasian ekonomi yang lebih kukuh.

 

Malaysia Madani Mendunia

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur ini bakal menjadi satu detik bersejarah bagi Malaysia dan rantau ini, yang berperanan untuk memperkukuhkan peranan teras ASEAN serta komitmen Malaysia terhadap pendekatan kesederhanaan di pentas global.

Namun seperti yang diakui sendiri oleh YAB PM, sememangnya tidak dinafikan bahawa masih ada banyak isu serantau tertunggak yang perlu diberi perhatian lebih serius dan ditangani secara tuntas dan strategik khususnya isu berbangkit berkaitan Laut China Selatan, sempadan, keselamatan, kegiatan penipuan (scammer) dan pengedaran dadah yang merentasi sempadan yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berjaya menghimpunkan bukan sahaja negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog tradisi seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, tetapi juga pemimpin luar rantau ini termasuk Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Kanada, Rusia, Brazil dan Afrika Selatan. Dalam erti kata lain, Malaysia telah meletakkan standard baharu kepengerusian ASEAN.

Pencapaian ini mencerminkan hala tuju strategik baharu bagi Malaysia dan ASEAN dalam memperluas hubungan diplomatik serta perdagangan. Malaysia Madani terus mendunia.

-- BERNAMA

 

Senator Dr Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri.