KESEIMBANGAN PERDAGANGAN GLOBAL, REFORMASI FISKAL FOKUS PERBINCANGAN DENGAN IMF - PM ANWAR

28/10/2025 04:30 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semasa pertemuan dua hala hari ini menumpukan kepada keseimbangan semula perdagangan global dan pengukuhan rangka keselamatan kewangan antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI juga dibincangkan bersama.

Beliau berkata pertemuan dengan Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva itu turut bertujuan mengukuhkan hubungan erat dan konstruktif antara Malaysia dan IMF yang dibina melalui rundingan berkala, bantuan teknikal serta kerjasama dasar yang rapat.

“Malaysia kekal komited terhadap disiplin fiskal serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, dengan unjuran pertumbuhan (Keluaran Dalam Negara Kasar) antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada  2025,” kata beliau selepas pertemuan itu.

Hadir sama dalam pertemuan dua hala itu ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed  Ghaffour.

Pertemuan hari ini diadakan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan oleh Malaysia dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA