ANWAR BERLEPAS KE KOREA SELATAN KHAMIS INI, HADIRI MESYUARAT PEMIMPIN EKONOMI APEC

28/10/2025 07:36 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Korea Selatan  pada Khamis ini untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

“Saya akan berlepas pada Khamis selepas sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen,” katanya kepada Bernama selepas sidang media majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijadual tiba di Korea Selatan pada Khamis, sehari sebelum mesyuarat APEC berlangsung dari Jumaat, 31 Okt hingga Sabtu, 1 Nov.

APEC 2025 akan diadakan di bandar pantai tenggara Gyeongju. Ini merupakan kali kedua Korea Selatan menjadi tuan rumah mesyuarat APEC selepas kali pertama pada tahun 2005.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka berlepas ke Korea Selatan hari ini sejurus selesai mesyuarat dua hala antara ASEAN dan Australia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Anwar, yang menjadi tuan rumah kepada pemimpin ASEAN serta enam lagi pemimpin negara rakan dialog termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dijangka bertemu semula dengan mereka di Korea Selatan memandangkan negara mereka juga merupakan anggota APEC.

Menurut laporan agensi berita, beberapa pemimpin APEC telah mula tiba di Korea Selatan.

Tema APEC 2025 ialah “Membina Esok yang Mampan” dengan Korea Selatan memberi tumpuan kepada kemajuan perdagangan serantau, kecerdasan buatan (AI) dan kemampanan, termasuk mesyuarat peringkat menteri yang akan membincangkan topik seperti kesihatan, ekonomi digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah APEC pada 2020 dalam format maya pertama susulan penularan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA