FILIPINA BERIKRAR PERKASA KESATUAN ASEAN SEBAGAI PENGERUSI 2026
Oleh Muhammad Saufee Rosman dan Thivyamalini Ramalu
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr hari ini berikrar untuk memperkasa kesatuan, keamanan dan kemakmuran serantau ketika negara itu bersedia mengambil alih Kepengerusian ASEAN bagi tahun 2026.
Bercakap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, Marcos berkata Filipina akan mengemudi ASEAN di bawah tema “Navigating Our Future Together” dengan tumpuan kepada tiga keutamaan iaitu memperkukuh keamanan dan keselamatan, memperluas koridor kemakmuran serta memajukan pemerkasaan rakyat.
“Kesemua keutamaan ini akan menjadi kompas kami, membimbing ASEAN ke arah masa depan yang aman dan makmur, dengan rakyat kekal menjadi teras setiap tindakan dan keputusan kami.
“Ini mencerminkan tekad kami untuk memastikan agenda integrasi ASEAN diterjemahkan kepada peluang sebenar iaitu untuk perniagaan berkembang, komuniti sejahtera dan kemajuan yang inklusif, mampan dan dinikmati bersama,” katanya selepas menerima Kepengerusian ASEAN daripada Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menandakan peralihan simbolik ketika Malaysia memasuki fasa terakhir kepengerusian 2025.
Beliau berkata 2026 akan menandakan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara sambil menambah bahawa Filipina akan terus mempromosikan keamanan dan kestabilan melalui dialog, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, serta kerjasama dalam mendepani cabaran keselamatan tradisional dan baharu.
“Meskipun arus perubahan tidak menentu, kompas kita mesti kekal teguh, berpandukan kerjasama dan berteraskan ASEAN yang stabil, selamat serta berasaskan peraturan.
“Dengan Filipina di tampuk kepimpinan, ASEAN serta mekanisme dan proses yang diterajuinya akan terus menjadi teras dalam landskap serantau yang sentiasa berubah,” katanya sambil menekankan bahawa pendekatan Manila akan membina di atas, dan bukannya menyimpang daripada usaha bersama kepengerusian terdahulu.
“Sebagai tanda komitmen berterusan kami selaku Pengerusi ASEAN, kami berharap visi ini akan dikongsi oleh semua negara anggota, Sekretariat dan seluruh rakan luar kami,” katanya.
Para pemimpin Filipina turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia atas kejayaan memimpin ASEAN di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan” serta memuji kepimpinan negara ini yang berlandaskan kejelasan, keyakinan dan pragmatisme.
“Anda telah menunjukkan bahawa ASEAN mencapai kemajuan paling signifikan apabila visi disepadukan dengan pragmatisme. Dengan berakhirnya kepengerusian anda, Filipina berbesar hati untuk memikul tanggungjawab memimpin ASEAN pada 2026.
“Kami komited untuk mengekalkan momentum yang telah dicapai dan melaksanakan Visi Komuniti ASEAN pada tahun pertama dengan tekad serta fokus yang jelas,” katanya.
Marcos turut menegaskan komitmen Filipina untuk menyokong integrasi penuh Timor-Leste dalam keluarga majmuk ASEAN dan merakamkan penghargaan kepada Sekretariat ASEAN atas sokongan berterusan mereka dalam memastikan kejayaan blok serantau itu.
-- BERNAMA