ASEAN 2025: MALAYSIA LETAK PENANDA ARAS BAHARU PENGURUSAN ISU SERANTAU, EKONOMI
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 berjaya meletakkan penanda aras baharu dalam pengurusan isu serantau dan memperkukuh daya tarikan ekonomi rantau ini, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kepimpinan Malaysia sepanjang tempoh kepengerusian telah memperlihatkan keupayaan negara mengurus cabaran serantau dengan matang, tersusun dan berpandangan jauh.
“Perdana Menteri menunjukkan komitmen tinggi dalam memimpin ASEAN walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam dan luar negara. Beliau bukan sahaja menumpukan kepada isu politik dan kemanusiaan, tetapi turut menekankan aspek pembangunan ekonomi serantau,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Antara inisiatif penting diketengahkan Malaysia ialah cadangan penubuhan Grid Tenaga ASEAN yang dijangka memberi manfaat besar kepada negara anggota selain memperkukuh daya tahan tenaga serantau.
“Langkah ini menunjukkan Malaysia berpandangan jauh dan memahami kepentingan kerjasama ekonomi serantau untuk manfaat bersama rakyat ASEAN,” katanya.
Shamsul Iskandar berkata peranan Malaysia dalam menangani isu kemanusiaan di Myanmar serta membantu meredakan ketegangan di Kemboja dan Thailand turut memperkukuh imej negara sebagai pemimpin serantau yang berwibawa.
“Usaha menghantar pasukan bantuan dan pembinaan hospital di Myanmar adalah bukti nyata pendekatan diplomasi kemanusiaan yang diterapkan oleh Malaysia,” katanya.
Selain kejayaan di peringkat serantau, Shamsul Iskandar berkata kepengerusian Malaysia turut membawa impak langsung kepada ekonomi domestik melalui peningkatan keyakinan pelabur asing, termasuk dalam sektor pusat data dan teknologi digital.
“Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik oleh kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Rusia dan negara Arab. Kehadiran pemimpin utama dunia ke Kuala Lumpur sepanjang tempoh ini membuktikan Malaysia menjadi tumpuan utama di rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA