ASEAN TERUS SERLAHKAN SIMBOL KERJASAMA PELBAGAI HALA
Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Luar Vietnam Dang Hoang Giang berkata ASEAN menerusi kepimpinan proaktif dan bertanggungjawab Malaysia terus terserlah sebagai simbol kerjasama pelbagai hala serta tonggak keamaan, kestabilan serta pembangunan di rantau ini.
Beliau berkata Malaysia dengan jelas telah memperlihatkan kecekalan dan kewibawaan komuniti ASEAN yang bersatu padu dan mudah menyesuaikan diri.
“ASEAN telah mengekalkan perpaduan sejak sekian lama, mengatasi perbezaan dan cabaran untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan, di samping mencapai kemajuan bersejarah,” katanya kepada Bernama dalam temu bual bertulis sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Giang berkata Visi Komuniti ASEAN 2045 yang diterima pakai, berserta strategi politik-keamanan, ekonomi, sosiobudaya dan kesalinghubungan, telah menetapkan hala tuju kerjasama serantau untuk beberapa dekad akan datang.
Beliau berkata pada masa sama, penyertaaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 telah memperluas potensi pembangunan badan serantau itu dan ruang untuk integrasi, sekali gus mengukuhkan keterangkuman dan kesepaduan komuniti.
Giang berkata 2025 turut menandakan kejayaan besar ASEAN dalam pertumbuhan ekonomi dan inovasi, dengan kadar pertumbuhan dijangka kira-kira 4.7 peratus, mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai satu daripada paling dinamik di dunia.
Beliau berkata rangka kerja baharu seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), Grid Tenaga ASEAN dan Pelan Induk Digital ASEAN menyediakan asas bagi pembentukan komuniti digital dipacu sains, teknologi dan inovasi.
“ASEAN juga telah mencapai kemajuan signifikan menerusi model kerjasama antara rantau baharu seperti ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ASEAN-GCC-China selain meningkatkan hubungan ASEAN-New Zealand kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Kesemua pencapaian ini memperlihatkan keupayaan ASEAN dan pengaruhnya yang kian meningkat dalam arena serantau dan global,” katanya.
Mengenai aspek sosiobudaya, Giang berkata ASEAN terus mendukung pendekatan berteraskan rakyat, menjadikan kesejahteraan warga sebagai teras pembinaan komuniti melalui inisiatif kerjasama dalam pendidikan, kesihatan, tenaga kerja, kebudayaan, tindak balas perubahan iklim serta pembangunan subrantau.
“Usaha berkenaan membentuk asas kukuh bagi memperteguh perpaduan ASEAN serta memastikan rakyatnya benar-benar menikmati keamanan, kerjasama dan pembangunan,” katanya.
Giang berkata Vietnam berbangga berpeluang menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dan negara anggota ASEAN lain dalam memajukan matlamat badan serantau itu, dan akan meneruskan jalinan kerjasama rapat dengan semua rakan bagi merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan menyatukan visi serta tekad bersama sekali gus membuka lembaran baharu kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selain membina komuniti yang benar-benar untuk rakyat.
-- BERNAMA