EU TERUSKAN FTA DENGAN NEGARA INDIVIDU ASEAN, BUKA JALAN BAGI FTA SERANTAU EU-ASEAN

28/10/2025 08:40 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) meneruskan perjanjian perdagangan bebas dua halanya (FTA) dengan negara-negara ASEAN secara individu, yang boleh disifatkan sebagai permulaan kepada FTA antara EU dan ASEAN.

FTA antara EU dan ASEAN adalah suatu yang pasti, yang akan membuka ruang peningkatan perdagangan antara kedua-dua rantau itu. Namun perjanjian itu dijangka hanya dapat dilaksanakan secara beransur-ansur, berikutan kepelbagaian ekonomi dan tahap pembangunan yang berbeza di rantau ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menyambut mesra Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ini mencerminkan pendekatan pragmatik EU untuk membina rangkaian perdagangan yang lebih berdaya tahan dan pelbagai, yang menjadi semakin penting susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Kerjasama antara EU dan ASEAN mendapat momentum baharu daripada rentetan pelbagai perjanjian dan FTA dengan negara-negara secara individu.

FTA antara dua blok serantau paling dinamik di dunia itu berpotensi meraih hasil menguntungkan, apabila kedua-dua pihak menyedari bahawa kerjasama akan menjadi asas kepada pertumbuhan yang lebih mampan.

Sejak dialog dimulakan lebih 45 tahun lalu, EU dan ASEAN berkongsi matlamat yang sama, termasuk pasaran terbuka, perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan dan pembangunan yang seimbang.

Namun hari ini, matlamat itu kelihatan lebih mendesak apabila tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan rakan dagangnya mempelbagaikan haluan perdagangan mereka dari AS dan mengurangkan risiko perniagaan mereka daripada kos yang lebih tinggi.

Ketika ekonomi utama dunia mula mengguna pakai dasar perlindungan perdagangan, Eropah dan Asia Tenggara saling bergantung antara satu sama lain untuk memastikan perdagangan kekal terbuka dan terangkum.

Ini jelas dapat dilihat semasa Sidang Kemuncak ASEAN-EU, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang berakhir hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa berkata EU melihat kerjasama rantau itu dengan ASEAN sebagai satu yang mustahak.

Beliau berkata ASEAN merupakan tonggak penting dalam menangani persekitaran global yang pelbagai bentuk, melangkaui perdagangan yang merangkumi kerjasama politik dan rakyat.

EU terus meneroka kemungkinan FTA dengan ASEAN tetapi pada masa yang sama mengakui perlu adanya fleksibiliti memandangkan struktur ekonomi yang pelbagai dalam perkumpulan itu.

"Sekiranya perjanjian antara rantau tidak dapat dilaksanakan segera, kami akan terus merundingkan perjanjian perdagangan dua hala, seperti yang telah kami lakukan dengan Vietnam, Singapura dan Indonesia. Rundingan sedang berjalan dengan Malaysia, Thailand dan Filipina," katanya.

Bagi Malaysia, rundingan FTA bermula pada 2010 tetapi terhenti selepas tujuh pusingan pada 2012 berikutan keraguan Malaysia terhadap klausa dasar pemerolehan minyak sawit EU, subsidi dan kemampanan.

Bagaimanapun, blok Eropah itu menyasarkan untuk memuktamadkan FTA dengan Malaysia menjelang 2027.

Kenyataan Costa mencerminkan strategi pragmatik susulan pengajaran daripada beberapa peristiwa kebelakangan ini, yang menunjukkan rantaian bekalan global mudah menjadi rapuh dan terdapat keperluan untuk mempelbagaikan perkongsian.

Capaian EU ke ASEAN, tegasnya, bukan sahaja untuk mengembangkan perdagangan tetapi juga bagi membina daya tahan melalui kerjasama dalam pendigitalan, pertumbuhan hijau dan industri  mampan.

Usaha ini akan menjadi satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua blok sempena ulang tahun ke-50 hubungan EU-ASEAN pada 2027.

 

 

Peralihan global dan keseimbangan baharu 

 

Peralihan EU ke arah ASEAN juga berlaku di tengah-tengah perubahan dinamik perdagangan global.

Ketegangan tarif dan perlindungan perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan rakan dagangnya telah mendorong rantau seperti Eropah dan Asia Tenggara bergantung antara satu sama lain untuk mencapai kestabilan ekonomi.

Duta EU ke ASEAN Sujiro Seam berkata iklim perdagangan ketika ini tidak lagi seperti dahulu dan sudah tiba masanya bagi Eropah dan ASEAN untuk bekerjasama lebih erat bagi mengekalkan hubungan perdagangan yang terbuka dan memberi manfaat antara satu sama lain.

ASEAN melaporkan perdagangan barangan antara ASEAN dan EU mencecah US$292.57 bilion (US$1 = RM4.20) pada 2024.

Selain itu, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari EU ke ASEAN berjumlah US$20.40 bilion tahun lepas, menjadikan EU sebagai rakan dagang ketiga terbesar dan sumber pelaburan langsung asing kedua terbesar ASEAN.

EU mempunyai jumlah pengguna yang ramai sebanyak 744 juta orang, manakala populasi ASEAN berjumlah 680 juta orang.

Perdagangan intraEU menyumbang 60 peratus daripada jumlah perdagangan rantau itu manakala perdagangan intra ASEAN hanya sebanyak 22 peratus.

 

Rantaian bekalan dan pertumbuhan bersama 

 

Susulan peningkatan kerjasama perdagangan antara EU dan ASEAN, seorang penganalisis berpendapat kedua-dua blok perlu menumpukan kepada pengukuhan ketelusan dan kerjasama rantaian bekalan untuk memastikan manfaat perdagangan yang sama rata merentasi ekonomi.

"Bagi memastikan perdagangan menjadi lebih meluas dan bermakna, cabang rantaian bekalan perlu ditingkatkan dan beban sistem sedia ada mesti dikurangkan.

“Ini boleh dicapai melalui perangkaian lebih meluas dan perkongsian maklumat antara negara anggota,” kata Profesor Madya Universiti Kuala Lumpur Business School, Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian kepada Bernama.

Harridon berkata walaupun FTA menawarkan peluang, kerajaan perlu membuat perancangan dengan mengambil kira keadilan, termasuk perlindungan yang membolehkan industri tempatan menyesuaikan diri dan bersaing secara berkesan dengan pemain global.

-- BERNAMA