MALAYSIA, AUSTRALIA ULANGI KOMITMEN KUKUH HUBUNGAN DUA HALA DALAM PELBAGAI SEKTOR

28/10/2025 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Australia mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, pertanian, keselamatan siber serta keamanan serantau, susulan Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia (ALM) di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese, sebagai sangat ikhlas dan terbuka, sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk meningkat kerjasama dalam perdagangan, pelaburan serta usaha sama.

“Banyak perkara telah membuahkan hasil. Kami benar-benar komited untuk meningkatkan hubungan dua hala dari segi perdagangan, pelaburan dan usaha sama,” kata beliau selepas mesyuarat berkenaan yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Anwar memuji kehadiran kukuh Australia di Malaysia, sambil merujuk kepada keputusan Monash University untuk membangunkan kampus di Tun Razak Exchange (TRX) sebagai bukti jelas bahawa Australia serius dalam hubungannya dengan Malaysia.

“Ia melambangkan komitmen jelas pihak Australia terhadap Malaysia dan kini dengan penglibatan pihak institusi kewangan serta kemudahan pelabuhan, saya menghargai komitmen dan sokongan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri (Albanese),” kata beliau.

Anwar berkata kedua-dua kerajaan juga bekerjasama rapat dalam sektor utama seperti halal, pertanian dan pendidikan.

“Pertanian telah menunjukkan kejayaan cemerlang dan tiada isu berbangkit mengenainya. Kami bergantung kepada kepakaran Australia untuk berkongsi pengalaman dan membantu mempertingkatkan bukan sahaja pengeluaran, tetapi juga sistem pengairan,” kata beliau.

Beliau berkata perbincangan turut menyentuh bidang kerjasama baharu termasuk tenaga, belia, sukan dan keselamatan siber di samping menegaskan semula kepentingan hubungan antara rakyat menerusi pendidikan.

Anwar menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Australia atas pendirian jelas berhubung konflik di Gaza dan sokongan terhadap usaha menamatkan pertempuran serta membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan. 

“Saya juga berterima kasih kerana anda mengambil pendirian tegas dalam menggesa menamatkan pertempuran di Gaza. Di Malaysia, rakyat sangat mengambil berat isu ini dan saya tahu rakyat Australia juga mempunyai pendirian yang sama,” kata beliau.

Sementara itu, Albanese mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Anwar serta Malaysia atas kecemerlangan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN dan menyifatkan sidang berkenaan amat berjaya serta memainkan peranan penting kepada kemajuan serantau.

Beliau berkata kerajaan Australia melihat Asia Tenggara sebagai pusat elemen penting kepada masa hadapan negaranya, merujuk kepada strategi Invested: Australia’s Southeast Asia Economic Strategy to 2040 sebagai rangka kerja utama yang mendorong peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala di rantau berkenaan.

“Pelaburan bernilai satu bilion dolar oleh Universiti Monash amat signifikan, dan saya menantikan kemajuan yang bakal dicapai. 

“Jadi, kerjasama ekonomi dalam keadaan baik. Kerjasama pertahanan dan keselamatan kita juga berada dalam keadaan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata lebih 500,000 rakyat Malaysia telah menerima pendidikan di Australia dan menjadi duta  antara kedua-dua negara sekali gus memperlihatkan kekuatan hubungan antara rakyat.

-- BERNAMA