AIIB, EMPAT BANK TEMPATAN BIAYA SEHINGGA US$6 BILION BAGI PROJEK INFRASTRUKTUR ASEAN

Kredit: AIIB
30/10/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) memeterai perjanjian kerjasama dengan empat bank tempatan bagi pembiayaan sehingga US$6 bilion (US$1 = RM4.1835) untuk projek infrastruktur yang lestari selain menggunakan teknologi di seluruh rantau ASEAN.

Bank-bank tersebut iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd, AMMB Holdings Bhd dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

AIIB dalam satu kenyataan hari ini berkata, tempoh awal perjanjian berkenaan adalah sehingga Oktober 2031.

Katanya, perjanjian-perjanjian tersebut ditandatangani selepas Sidang Kemuncak ASEAN di sini yang mencerminkan komitmen mereka untuk memajukan infrastruktur hijau dan terangkum.

Selain itu, kata AIIB,  ia mengukuhkan keterhubungan serantau serta merangsang pembiayaan modal swasta bagi memenuhi keperluan infrastruktur yang semakin berkembang di ASEAN.

"Di bawah kerjasama baharu ini, institusi berkenaan akan menyokong pelaburan dalam sektor utama seperti tenaga boleh baharu, penghantaran dan pengagihan tenaga, pengangkutan, infrastruktur digital serta telekomunikasi.

"Inisiatif ini menggabungkan kepakaran serantau bank-bank Malaysia dalam membangunkan dan mengurus aset infrastruktur berskala besar dengan keupayaan AIIB bagi membiayai modal jangka panjang melalui instrumen pembiayaan hutang dan ekuiti," kata AIIB.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pelaburan, Sektor Awam (Rantau 1) dan Pelanggan Institusi Kewangan serta Dana (Global) Kim-See Lim berkata bank-bank yang terlibat dalam perjanjian ini masing-masing membawa kelebihan tersendiri.

Satu daripada kelebihannya iaitu dari segi kewujudan bank-bank berkenaan di seluruh Asia serta pelbagai pengkhususan kelas aset yang mereka biayai di Malaysia dan luar negara, katanya.

"Yang dibawa oleh AIIB iaitu kuasa pertemuan institusi kewangan ini, piawaian alam sekitar, sosial, dan tadbir urus dalam projek-projek serta keupayaan untuk merangsang selain membawa masuk modal tambahan yang diperlukan untuk projek-projek keterhubungan serantau.

"Contoh projek keterhubungan serantau seperti Grid Tenaga Asia (APG)," katanya dalam sidang media selepas majlis tandatangan perjanjian kerjasama di sini hari ini.

Mengulas mengenai APG, Kim berkata memandangkan ASEAN dijangka menjadi ekonomi kolektif keempat terbesar pada 2030, keperluan tenaga serta kapasiti tenaga perlu dipertingkatkan bagi membawa lebih banyak kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi ke rantau ini.

"Kami berharap dapat menjadi sebahagian daripada peralihan tenaga di rantau ini," katanya.

AIIB merupakan sebuah bank pembangunan pelbagai hala yang ditubuhkan untuk membiayai "infrastruktur untuk masa depan" dengan kelestarian sebagai teras utamanya.

Kim berkata AIIB yang mendapat penarafan AAA daripada agensi penarafan kredit antarabangsa utama berjaya mengumpul lebih US$64 bilion daripada lebih 300 projek di 38 negara sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2016.

-- BERNAMA