MALAYSIA MESTI BANGKIT SEBAGAI HAB PEMIKIR BERTERASKAN NILAI - AHMAD ZAHID
PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia di tengah-tengah negara ASEAN mesti bangkit sebagai hab pemikir yang berteraskan nilai, kaya dengan kepelbagaian dan yakin dalam kesederhanaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kedudukan geografi dan budaya Malaysia sebagai titik pertemuan antara timur dan barat memberikan tanggungjawab moral dan intelek untuk menerajui rantau ini dalam pembangunan idea, inovasi dan etika.
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucaptama pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 hari ini berkata Malaysia kini perlu beralih daripada menjadi pengguna idea kepada menjadi penjana ilmu dan inovasi untuk rantau ini.
Beliau menggesa FOI, yang bertemakan MADANI: Shaping the Future, Realising Ideas (MADANI: membentuk masa depan, merealisasikan idea) harus berkembang melangkaui acara tahunan kepada gelombang idea negara yang memupuk kreativiti dan kerjasama berterusan dalam kalangan sekolah, universiti dan komuniti kampung.
"Jadikan festival ini mencetuskan ekosistem itu, tempat pelajar berdebat, penyelidik bekerjasama dan rakyat menyumbang untuk menyelesaikan masalah. Dari dewan kuliah hingga ke kampung luar bandar, mari jadikan Malaysia negara yang berfikir, menyoal dan mencipta bersama," katanya.
Ahmad Zahid berkata negara berfikir yang dibina atas kekuatan moral dan keberanian intelektual akan menjadi kunci kepada kemajuan Malaysia ketika ia berdepan cabaran global yang didorong oleh teknologi dan maklumat.
Sebagai pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, beliau berkata kerajaan telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya TVET untuk menyelaras 1,398 institusi di seluruh negara dan memastikan program latihan memenuhi keperluan industri.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memupuk budaya kreativiti, penguasaan teknikal dan pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan matlamatnya untuk melahirkan tenaga kerja sedia masa depan.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa TVET tidak lagi harus dilihat sebagai pilihan kedua tetapi sebagai laluan utama dalam ekosistem pendidikan negara.
"Siapa kata graduan TVET tidak boleh cemerlang? Seperti kata setiausaha agung ASEAN, TVET akan menjadi pilihan nombor satu dalam sistem pendidikan kita," katanya.
Sambil menzahirkan rasa bangga, Ahmad Zahid mengambil contoh Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, seorang pemimpin global yang mempunyai latar belakang TVET.
"Ini membuktikan graduan TVET juga boleh menjadi ahli politik dan pemimpin negara. Saya percaya suatu hari nanti, seseorang di sini mungkin akan menjadi Perdana Menteri Malaysia, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata kemahiran perlu menjadi mata wang baharu negara, bukan kelayakan kertas, tetapi nilai sebenar yang mengangkat Malaysia di persada global.
Menurutnya Malaysia sedang membina keseluruhan ekosistem inovasi, daripada Kulim Hi-Tech Park ke zon penyelidikan universiti untuk menghubungkan pengetahuan tempatan dengan pemain hadapan global.
"Matlamat kami bukan untuk meniru Lembah Silikon, tetapi untuk mencipta model Malaysia di mana kepercayaan dan belas kasihan membimbing teknologi dan di mana tindakan iklim memperoleh kekuatan daripada kebijaksanaan tempatan," katanya.
Ahmad Zahid berkata perjalanan Malaysia ke arah menjadi negara berilmu diilhamkan oleh visi pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, yang mengimpikan kebebasan intelektual dan Tun Hussein Onn, yang menekankan pendidikan dan disiplin sebagai asas negara.
Beliau meluahkan harapan bahawa Malaysia akan muncul sebagai baldatun tayyibatun iaitu sebuah negara yang baik dan berilmu yang menyumbang kepada perpaduan ASEAN menerusi idea dan kepimpinan moral.
Ahmad Zahid juga memberi jaminan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, bahawa kerajaan akan memperuntukkan dana tambahan untuk menyokong FOI tahun depan, sambil menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah penyokong kuat acara itu dan telah menetapkannya sebagai program tahunan.
FOI Putrajaya 2025, yang berlangsung dari hari ini hingga 8 Nov, dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung dan kira-kira dua juta peserta termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.
-- BERNAMA