PELAN TINDAKAN ACMF 2026-2030 JADIKAN ASEAN SEBAGAI HAB PELABURAN BERTANGGUNGJAWAB - PM ANWAR

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
06/11/2025 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026-2030 yang dilancarkan hari ini akan menjadikan rantau ini sebagai destinasi kepada pelaburan yang bertanggungjawab untuk tempoh jangka panjang.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Pelan Tindakan ACMF yang telah dikemas kini dan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan mencerminkan komitmen bersama terhadap piawaian kemampanan yang berwibawa menyelaraskan pasaran serantau dengan jangkaan global.

“Pasaran modal yang baik adalah penting untuk menggerakkan sumber, memperuntukkan modal dengan cekap dan menyokong pertumbuhan. Ia juga perlu mengekalkan integriti, akauntabiliti dan amanah,” kata beliau dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ACMF yang diadakan di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini hari ini.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut Perdana Menteri, pelabur kini mahukan ketelusan, amalan beretika dan sejajar dengan kemampanan, justeru memenuhi jangkaan ini adalah penting.

“Dengan mengekalkan keadilan, kejelasan dan tadbir urus yang baik, kita dapat menarik modal berkualiti tinggi dan memastikan pelaburan ke ASEAN mengukuhkan keyakinan pasaran dan kepercayaan orang ramai.

“ACMF dan pasaran modal kita memainkan peranan penting -- bukan sahaja menggerakkan modal, malah memacu keyakinan, peluang dan kemakmuran bersama untuk rakyat,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata Pelan Tindakan ACMF 2026-2030 berpaksikan lima teras strategik sebagai asas untuk mewujudkan ekosistem pasaran modal ASEAN yang lebih bersepadu.

Lima teras strategik itu ialah kemampanan, keterangkuman kewangan, kesalinghubungan serantau, transformasi digital dan struktur institusi ACMF yang ditambah baik.

“Ia menyediakan pelan hala tuju yang komprehensif untuk pasaran modal rantau kita,” katanya.

-- BERNAMA