PERTUMBUHAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR MALAYSIA PERLUKAN SOKONGAN RANGKAIAN GLOBAL - ANWAR

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Coplace 9 Cyberjaya hari ini.
06/11/2025 02:53 PM

CYBERJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor negara memerlukan sokongan rangkaian antarabangsa yang kukuh, khususnya dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, bagi memastikan ia terus berkembang pesat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) amat besar. Sekitar 25 peratus daripada keperluan E&E dan semikonduktor negara itu datang dari Malaysia dengan nilai hampir RM200 bilion, melibatkan ribuan rantaian bekalan serta puluhan ribu pekerja.

“Tetapi dalam masa yang sama kita ada dasar yang disebut centrality (kepusatan) ASEAN. Maka kita berkawan dengan negara China, kerana China mempunyai potensi perkembangan yang sangat pantas,” kata beliau.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 yang dianjurkan bersama oleh Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) dan Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan strategik Malaysia dengan China turut penting memandangkan negara itu mempunyai potensi pertumbuhan industri dan teknologi yang sangat pesat.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara dagang Malaysia perlu terus berusaha untuk memperluas jaringan perdagangan dan eksport ke pasaran baharu.

“Maka kita baik dengan China, tetapi dalam masa yang sama kita perlu memperluas jaringan perdagangan dan eksport tradisional.

“Potensi di (benua) Afrika dan Amerika Latin sangat besar. Kita telah mula menembusi tembok baharu melalui hubungan dengan Brazil dan Afrika Selatan. Semua ini kita lakukan demi masa depan (negara),” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut menekankan bahawa kestabilan politik dan kecekapan pelaksanaan dasar merupakan dua tonggak penting dalam memastikan kejayaan strategi semikonduktor negara.

“Sistem politik mesti stabil. Tapi yang juga penting adalah merangka perancangan sama ada melalui pelan industri atau strategi semikonduktor yang jelas untuk menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh negara.

“Tidak banyak negara mendapat perhatian seperti yang kita peroleh sekarang. Ini disebut kesempatan dan peluang. Tapi bila peluang datang, tanggungjawab kita adalah untuk mengisinya dengan dasar yang jelas serta pelaksanaan yang pantas dan cekap,” kata beliau.

Anwar berkata, antara cabaran utama negara adalah memastikan pelaksanaan dasar dilakukan secara berkesan dan tidak terperangkap dalam “budaya selesa” yang boleh melambatkan kemajuan.

“Saya lihat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kerajaan Negeri Selangor telah menunjukkan kepantasan dan kejayaan menarik pelabur, penyelidik dan peserta yang membuktikan kita berada di landasan meyakinkan,” kata beliau.

Dalam konteks pelaburan semikonduktor, Perdana Menteri berkata Malaysia mampu menyediakan prasarana yang mencukupi serta insentif yang kompetitif bagi menjadikan negara ini destinasi pelaburan yang menarik.

“Untuk manfaat para pelabur, saya ingin tekankan bahawa kita boleh menyediakan prasarana yang mencukupi, tetapi kita juga perlu menyediakan insentif yang menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang menarik. Dalam masa sama, kita mesti melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk melindungi kepentingan negara.

“Kita perlukan kumpulan bakat yang dilatih dengan baik dan lengkap dengan kemahiran terkini. Golongan muda mempunyai keupayaan untuk menyerap dan cemerlang dalam bidang ini,” kata beliau.

Menurut Anwar, ekosistem semikonduktor perlu dilihat secara menyeluruh dengan tumpuan kepada dasar yang lebih jelas, pelaksanaan efisien dan inovasi tempatan.

“Jika kita mahu jayakan projek semikonduktor ini, ekosistemnya perlu kuat. Malaysia ialah sebuah negara perdagangan, jadi kita mesti membuka ruang pelaburan yang lebih luas.

“Kita sudah sampai ke tahap perlu meningkatkan nilai tambah ekonomi… bukan sekadar menghasilkan produk asas seperti tekstil atau pemasangan untuk pihak lain, tetapi kita perlu cipta sendiri.

“Inilah asas kepada dasar transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) negara, kerana inovasi dan daya cipta mesti menjadi tonggak ekonomi kita,” kata beliau.

-- BERNAMA