MALAYSIA TEKANKAN PEMBANGUNAN GENERASI MUDA UNTUK PIMPIN ERA AI

Kredit: Fb Chang Lih Kang
26/11/2025 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia menekankan kepentingan membangunkan generasi muda yang bersedia memimpin era kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025, pada Autumn Economic Forum 2025 di Ho Chi Minh, Vietnam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, menyampaikan perkara itu pada sesi Youth Inspirational Talks: AI Generation NOW bertajuk AI for Regional Innovation and Connectivity.

Beliau turut berkongsi pendekatan Malaysia yang menekankan tadbir urus AI yang beretika dan bertanggungjawab, pembangunan bakat muda melalui pendidikan, latihan serta peluang industri, dan pengukuhan ekosistem inovasi serantau yang mampu memacu pertumbuhan industri digital.

“Saya turut menekankan bahawa lebih separuh populasi ASEAN berusia 35 tahun ke bawah, menjadikan rantau ini antara kawasan paling dinamik dan berpotensi memacu inovasi masa depan.

“Dengan kepakaran teknikal yang semakin meningkat, ASEAN berupaya menjadi hab inovasi yang saling terhubung dan berdaya saing di peringkat global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Chang berkata penyertaan Malaysia dalam forum tiga hari yang berlangsung mulai 25 Nov itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh diplomasi sains dan teknologi serta memperluas kerjasama dua hala dengan Vietnam.

“Ia juga bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan inovasi dan keterhubungan digital menjadi antara fokus utama,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan terus memainkan peranan strategik bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi perubahan teknologi global serta mampu muncul sebagai peneraju inovasi serantau.

-- BERNAMA