DARI MEJA JENAYAH KE PELAJAR ANTARABANGSA DI CHINA

Sebagai wartawan jenayah selama lebih sedekad, penulis telah menyaksikan pelbagai sisi kehidupan manusia.
Dari lokasi kejadian yang menyayat hati, operasi penguatkuasaan berisiko tinggi hinggalah liputan bencana yang menuntut ketahanan mental dan fizikal, semuanya menjadi sebahagian daripada rutin kerjaya.
Namun, di sebalik pengalaman merentas pelbagai negara ASEAN, penulis belum pernah dihantar membuat liputan ke China, satu-satunya negara yang berada dalam ‘bucket list’ sepanjang 16 tahun bergelar wartawan.
Lebih mengejutkan, peluang itu hadir ketika penulis langsung tidak
menjangkakannya.
Penulis bertugas sebagai wartawan penyiaran di Bernama TV sejak 2010. Selain penulis, dua lagi wartawan turut disenarai pendek, menjadikan tiga wartawan dari unit audio visual dipilih untuk saringan awal program berkenaan.
Bagi edisi kali ini, program Media Fellowship anjuran Pusat Media Antarabangsa China (CIPCC) ditawarkan kepada wartawan Bernama TV buat pertama kalinya.
Tiga minggu selepas proses saringan, penulis dimaklumkan terpilih untuk mewakili Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sekali gus menjadi satu-satunya wartawan dari Malaysia yang menyertai program edisi 2026 bersama 97 wartawan lain dari 90 negara Global South.
Perasaan yang hadir bukan sekadar gembira, malah amat terharu kerana diberikan peluang untuk mewakili negara di pentas yang menghimpunkan pengamal media dari seluruh dunia.
Kesemua peserta mengikuti program ini selama tiga bulan sehingga Ogos dan ditempatkan di asrama Universiti Renmin China (RUC).
Berbeza dengan edisi-edisi terdahulu yang menyaksikan peserta ditempatkan di apartmen lengkap dengan kemudahan memasak dan mencuci pakaian, peserta edisi kali ini menjalani kehidupan seperti pelajar antarabangsa di kampus universiti.
Setiap wartawan diberikan sebuah bilik berkonsepkan asrama yang dilengkapi kemudahan asas seperti bilik air, televisyen, meja belajar, almari dan peti sejuk.
RUC terletak sekitar 30 kilometer dari Beijing Capital International Airport dan dikenali sebagai antara universiti elit di China.
Kampus yang luas dan menghijau itu terkenal dengan kecemerlangannya dalam bidang kewartawanan, komunikasi, undang-undang dan sains sosial.
Sejak penubuhannya pada 1937, universiti tersebut telah melahirkan ramai wartawan, ahli akademik dan pemimpin yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ini.
pix2
Beralih rutin, beralih musim
Sebelum ke China, ramai yang bertanya sama ada penulis akan mengalami kejutan budaya.
Namun, sebaik tiba di sini pada 11 Mei lalu, perasaan yang hadir bukanlah kejutan budaya, sebaliknya rasa teruja untuk melihat sendiri kehidupan di negara yang sering diperkatakan sebagai antara kuasa besar dunia.
Sepanjang berada di sini, penulis kagum melihat bagaimana teknologi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.
Hampir semua urusan, daripada pembayaran, tempahan makanan hinggalah pengangkutan, boleh dilakukan hanya menggunakan telefon pintar.
Penulis juga perlu membiasakan diri dengan rutin berjalan kaki yang jauh lebih aktif berbanding di Malaysia.
Tidak hairanlah jika lebih 10,000 langkah direkodkan hampir setiap hari ketika bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Kemudahan basikal awam yang mudah diakses turut menjadi antara pengalaman paling menyeronokkan sepanjang berada di sini.
Selain itu, penulis turut berpeluang merasai peralihan musim bunga ke musim panas. Dari cuaca yang nyaman ketika awal ketibaan sehingga bahang matahari yang semakin terasa sekarang, pengalaman tersebut memberikan gambaran sebenar kehidupan di negara empat musim yang sebelum ini hanya dilihat menerusi televisyen dan media sosial.
pix3
Xiexie nin, laoshi !
Selain mengikuti program akademik dan lawatan rasmi, penulis turut berpeluang menyertai kelas Bahasa Mandarin yang dianjurkan oleh pihak universiti bagi memberi pendedahan asas kepada peserta antarabangsa.
Kelas yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman itu memperkenalkan peserta kepada sebutan asas, ungkapan harian serta cara berkomunikasi dalam situasi biasa seperti membeli makanan, bertanya arah dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.
Apa yang paling menarik, setiap perkataan perlu disebut mengikut nada yang betul kerana perbezaan nada boleh mengubah maksud sesuatu perkataan.
Ia menjadi cabaran tersendiri, malah kadangkala mencetuskan gelak tawa apabila sebutan kami tersasar daripada yang sepatutnya.
Walaupun hanya mengikuti kelas dalam tempoh singkat, pengalaman itu sedikit sebanyak membantu penulis berkomunikasi dengan masyarakat tempatan.
Sekurang-kurangnya, penulis kini lebih yakin untuk mengucapkan “Ni hao” dan “Xie xie” ketika meneroka bandar-bandar di China.
pix4
Internship di China
Sebenarnya, ada satu perkara yang menjadikan pengalaman ini cukup istimewa buat penulis. Ketika terpilih menyertai program di Beijing, penulis berada di semester akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi secara pembelajaran jarak jauh (PJJ) dan sedang menjalani latihan industri sebagai syarat menamatkan pengajian.
Apa yang tidak disangka, latihan industri tersebut akhirnya membawa penulis ke China. Sejak kecil, penulis sering mendengar ungkapan “tuntutlah ilmu sampai ke negeri China”, namun tidak pernah membayangkan suatu hari nanti akan menjejakkan kaki ke negara ini atas tujuan pembelajaran.
Bagi penulis, pengalaman ini bukan sekadar peluang untuk menyaksikan sendiri pembangunan pesat China, tetapi juga satu peringatan bahawa proses menuntut ilmu tidak pernah berakhir, tanpa mengira usia mahupun lokasi.
Selepas hampir tiga minggu berada di sini, penulis semakin memahami bahawa makna sebenar ungkapan tersebut bukanlah tentang sejauh mana destinasi yang perlu dituju, tetapi tentang kesediaan untuk terus belajar, membuka minda dan menghargai pengalaman baharu yang hadir dalam kehidupan.
“Salam Dari Beijing”
-- BERNAMA
Siti Zanariah Nor Zin ialah wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2026, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama tiga bulan bermula Mei.