MENTERI LUAR ASEAN ZAHIRKAN KOMITMEN UNTUK KEANGGOTAAN PENUH TIMOR-LESTE

19/01/2025 07:04 PM

 

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

LANGKAWI, 19 Jan (Bernama) -- Menteri Luar ASEAN hari ini mengalu-alukan kemajuan Timor-Leste dalam melaksanakan hala tuju untuk ia mendapatkan keanggotaan penuh dalam blok serantau itu. 

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata menteri-menteri turut menyatakan komitmen untuk memudahkan proses penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

“Ramai yang menekankan keperluan untuk menyokong usaha Timor-Leste melalui program pembinaan kapasiti dan sokongan teknikal khusus,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Permukiman Menteri  Luar ASEAN (AMM) di sini, hari ini.

Timor-Leste diwakili oleh Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Bendito dos Santos Freitas dalam mesyuarat itu.

Sementara itu, dalam satu wawancara di luar Permukiman AMM,  Freitas menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan memainkan peranan penting dalam memudahkan penerimaan Timor-Leste sebagai anggota penuh blok itu.

Beliau memuji sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia serta kapasiti kepemimpinannya dalam membimbing proses bersejarah itu.

“Sejak Timor-Leste diterima secara prinsip pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Kemboja dan Phnom Penh pada 2022, saya melihat Timor-Leste aktif terlibat dalam semua acara, sidang kemuncak dan mesyuarat.

“Dengan kepengerusian Malaysia ketika ini, kami amat berharap mendapat sokongan penuh dari Malaysia,” katanya.

Freitas, yang kali kedua menghadiri permukiman ini sebagai pemerhati ASEAN, menyifatkan tahun 2025 sebagai tahun penting bagi Timor-Leste, menggambarkannya sebagai “detik bersejarah dan penentu” bagi negaranya.

Beliau menekankan bahawa penyertaan Timor-Leste akan memperkaya kesatuan dan kepusatan ASEAN, sekali gus menambah dimensi baharu dalam hubungan diplomatik dan antarabangsa blok itu.

“Timor-Leste mungkin kecil, tetapi kami mempunyai suara dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa. bersama negara anggota ASEAN lain, kita boleh menjadi satu kuasa, satu suara sebagai suara ASEAN, memperkukuh kesatuan dan kepusatan.

“...terutamanya kerana kita turut mengenal pasti diri kita sebagai blok serantau dengan potensi membawa keamanan, pembangunan, daya tahan dan kestabilan untuk kemanusiaan,” katanya.

Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011.

Pada November 2022, semasa kepengerusian Kemboja, Timor-Leste diterima secara prinsip sebagai anggota ke-11 ASEAN.

Kesepuluh negara anggota ASEAN bersetuju memberikan status pemerhati kepada Timor-Leste, membolehkan penyertaannya dalam semua mesyuarat ASEAN, termasuk pleno Sidang Kemuncak.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia, Mei 2023, ASEAN menerima pakai hala tuju  untuk keanggotaan penuh Timor-Leste bersama lampirannya dan menggalakkan negara itu mempergiatkan usaha persediaan untuk keahlian penuh ASEAN.

Permukiman AMM selama dua hari di Langkawi ini merupakan mesyuarat utama pertama di bawah kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025, membuka tirai kepada tahun yang sibuk dan signifikan.

Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA