Misi Cheah, Gan Bidik Tujuh Emas Tercapai

Penembak Pahang Cheah Zen Hong dan penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie bergaya dengan pingat emas yang dimenangi masing-masing dalam beberapa acara antaranya 25 meter Air pistol individu lelaki dan berpasukan lelaki (Cheah) serta 10 meter air rifle individu dan berpasukan wanita (Gan) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Lapang Sasar Sarawak hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
21/08/2024 07:36 PM

KUCHING, 21 Ogos (Bernama) -- Penembak tepat Cheah Zen Hong dari Pahang dan Gan Chen Jie mewakili Negeri Sembilan mencatat kemenangan bergaya dengan koleksi tujuh pingat emas masing-masing pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Lapang Sasar Sarawak hari ini.

Kejayaan dua atlet itu meletakkan mereka antara pemenang pingat emas terbanyak dalam saingan SUKMA di Sarawak setakat ini.

Pada acara 10 meter (m)  Air Pistol bercampuran hari ini, Cheah membidik emas ketujuh peribadinya bergandingan dengan Wan Nur Afiqah Wan Mohd Haneef menewaskan rakan sepasukan Muhammad Zainal 'Azim Ahmad Mahmud-Damia Hani Mohamad Sakran 14-6.

Atlet berusia 18 tahun yang mempunyai impian bergelar Olimpian satu hari nanti berharap dapat diserap dalam skuad elit kebangsaan dan menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi.

"Saya memang nak menang pingat emas untuk Pahang, kami berkerja keras dan bersyukur misi tercapai. Saya harap keputusan hari ini dapat dipertimbangkan mewakili negara ke Sukan SEA 2025.

"Saya juga ingin menjadi seperti Johnathan Wong (atlet Olimpik negara) dan berhasrat untuk bertanding bersama-samanya dalam satu pasukan suatu hari nanti. Saya masih perlukan banyak pengalaman," katanya kepada pemberita.

Pingat gangsa acara itu dimenangi pasangan tuan rumah, Justin Joannes-Siti Nur Anniesa Mohd Danial Fikri yang menewas Abdul Haiqal Abdul Aziz-Dania Irdina Zaini dari Wilayah Persekutuan 17-11.

Tidak kurang hebatnya, Gan sekali lagi membidik emas iaitu yang ketujuh peribadinya dalam acara 10m Air Rifle bercampuran bergandingan dengan Amar Syawal Abdul Mutalib menewaskan Hairiz Haiqal Ramlan-Nabila Aisya Rahman Abdullah dari Pahang, 16-12.

Negeri Sembilan turut meraih pingat gangsa  menerusi gandingan Mohd Ridzuan Muhammad Azman-Tan Yee Xuan mengalahkan Muhammad Ariff Naim-Nur Aina Sofea Aziz dari Perlis 16-12.

Gan, 20, berkata pencapaian pada penampilan terakhirnya dalam temasya dwitahunan itu begitu bermakna sepanjang lima tahun dalam sukan menembak.

"Terima kasih semua atlet menembak Negeri Sembilan yang sentiasa menyokong serta membantu menaikkan semangat ketika final tadi, memang tidak sangka memenangi tujuh pingat emas di sini. Amar Syawal beraksi sangat bagus hari ini kerana memberikan bidikan terbaik, dia terus berjuang hingga bidikan terakhir," katanya.

Secara keseluruhan Pahang mengekalkan juara keseluruhan dengan 11 pingat emas, tiga perak dan empat gangsa manakala Negeri Sembilan turut meraih 11 emas, tiga  perak dan tiga pingat gangsa.

-- BERNAMA