Nur Sabrina Hani Warisi 'Kekuatan' Bapa

Atlet angkat berat Selangor Nur Sabrina Hani Sazali yang mewarisi kekuatan ayahnya yang juga merupakan legenda bina badan Malaysia, Sazali Samad.
22/08/2024 12:32 PM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

BETONG, 22 Ogos (Bernama) -- Ke mana tumpah kuah jika tidak ke nasi. Peribahasa itu menggambarkan anak perempuan bekas jaguh bina badan negara Sazali Samad, yang mengikuti jejak bapanya bergiat dalam bidang sukan beradu tenaga. 

Nur Sabrina Hani Sazali yang mewakili Selangor berkata minatnya terhadap sukan angkat berat berputik sejak menonton Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain terpengaruh dengan abangnya yang turut menceburi sukan itu.

“Mula-mula saya tengok Olimpik Tokyo dan saya rasa sukan ini agak menarik. Selepas itu saya mula tanyakan dekat abang saya berkenaan sukan angkat berat sebab dia juga sebelum ini merupakan atlet angkat berat.

“Selepas ikut abang ke tempat latihan, tiba-tiba saya makin minat dan terjebak juga dalam sukan angkat berat sampai sekarang,” katanya atlet berusia 18 tahun itu kepada Bernama.

Nur Sabrina berkata bapanya banyak memberikan sokongan sepanjang penglibatannya dalam sukan angkat berat, dan tekad menebus kekecewaannya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang selepas terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di Bumi Kenyalang dengan menduduki tempat keempat.

Beliau mengakhiri saingan kategori wanita tidak lebih 55 kilogram (kg) di tempat keempat. Pingat emas dimenangi wakil Terengganu Alia Adani Johari yang melakukan jumlah angkatan 152kg, perak milik wakil Perlis, Nurqalida Umirah Abdullah (139kg) dan Sherleyne Jounis dari Sabah gangsa (134kg).

Sementara itu, Sazali berkata beliau berbangga dengan pencapaian diraih anaknya itu meskipun baru dua tahun berkecimpung dalam sukan angkat berat.

Beliau berharap Nur Sabrina Hani tidak berputus asa walau pulang tangan kosong, dan meneruskan latihannya untuk kejohanan yang akan disertai selepas ini.

“Bagi saya pencapaian tempat keempat itu sebenarnya sudah baik kerana lawannya juga bukan calang-calang kali ini.

“Harap dia (Sabrina Hani) dapat berusaha dengan lebih baik selepas ini dan saya sekeluarga akan sentiasa bagi sokongan penuh,” katanya.

-- BERNAMA