Sukan Paralimpik: Nur Jannaton Gemar Tarik 'theraband' Sebelum Tidur

Pemanah paralimpik negara, Nur Jannaton Abdul Jalil
22/08/2024 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pemanah para negara, Nur Jannaton Abdul Jalil memiliki tabiat menarik jalur rintangan atau theraband pada malam sebelum hari pertandingan.

Nur Jannaton berkata tabiat itu yang sering dilakukannya sebelum tidur dianggap sebagai kaedah meregangkan tangan selain meredakan perasaan gemuruh. 

“Selain berzikir dan mendengar lagu, saya juga akan menarik getah (theraband) banyak kali sebelum tidur sambil membayangkan apa yang saya patut buat pada hari pertandingan.

“Institut Sukan Negara juga ajar teknik pernafasan betul dan perbualan kendiri (self-talk) bagi hilangkan gemuruh. Paling penting, saya akan fokus diri sendiri dan tidak terlalu memikirkan soal lawan saya agar tidak terganggu dengan apa mereka bakal lakukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau pada masa sama tidak mengendahkan media sosial sewaktu bertanding pada mana-mana kejohanan atau temasya sukan, bagi mengelakkan dirinya terganggu dengan sebarang komen negatif warga siber.

Seandainya keadaan memerlukan, Nur Jannaton hanya menggunakan media sosial untuk melihat hantaran yang boleh memberikan motivasi bagi membantunya beraksi lebih baik.

Mengenai sasarannya pada penampilan sulung di Sukan Paralimpik, atlet kerdil berketinggian satu meter yang beraksi dalam acara compound wanita itu berharap dapat memecahkan rekod peribadi 338 mata, dilakukan pada Kejohanan Memanah Para Asia 2019 di Bangkok.

“Alhamdulillah latihan pun makin baik dan saya semakin bersedia untuk ke Paris. Memang saya sasarkan buat catatan peribadi baharu terbaik kerana pada sesi latihan saya dapat kekalkan markah sebegitu (338),” katanya.

Selain Nur Jannaton, cabaran skuad memanah para negara di Invalides dari 29 Ogos-5 Sept ini turut digalas bekas juara dunia 2019 iaitu S. Suresh menerusi recurve dan G. Daneshen dalam compound.

Sukan Paralimpik Paris 2024 akan dibuka secara rasmi pada 28 Ogos dan berakhir 8 Sept ini.

 

 

PROFIL:

Nama: Nur Jannaton Abdul Jalil

Umur: 28 tahun

Asal: Seri Iskandar, Perak

Adik-beradik: Anak bongsu dari lima beradik

Ranking dunia:  17 (compound terbuka wanita)

Idola: Sara Jose Lopez (pemanah Colombia)

Hobi: Menonton filem

Makanan kegemaran: Laksa utara dan soto

Ranking dunia:  17 (compound terbuka wanita)

Pencapaian tertinggi: Pemenang gangsa compound terbuka berpasukan campuran bersama Wiro Julin pada Kejohanan Memanah Para Asia 2019

                                   Atlet wanita terbaik Para Sukan Malaysia 2022

 

-- BERNAMA