Bakat Baharu Badminton Diharap Menyinar, Galas Misi Emas Olimpik - Zakry Latif

Bekas pemain badminton beregu negara Mohd Zakry Abdul Latif ketika ditemubual Bernama sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
22/08/2024 05:06 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

SIBU, 22 Ogos (Bernama) -- Bekas pemain beregu negara Mohd Zakry Abdul Latif berharap bakat baharu dalam badminton dapat menyinar di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sekali gus menggalas misi lebih besar untuk membutirkan pingat emas negara di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Mohd Zakry yang pernah bergandingan dengan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari berkata pemain pelapis berkenaan perlu merapatkan jurang dengan pemain senior negara supaya Malaysia mempunyai lebih ramai pilihan pemain yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita tak minta pemain muda ini untuk setanding dengan pemain utama negara seperti Aaron Chia/Soh Wooi Yik dalam masa terdekat ini tetapi sekurang-kurangnya mereka menunjukkan prestasi yang semakin meningkat dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tempoh empat tahun sebelum bermula Los Angeles 2028 adalah tempoh masa panjang dan tidak mustahil pemain yang beraksi di SUKMA 2024 yang akan menggalas misi negara memburu pingat emas pertama Olimpik.

“… ia merupakan satu jangka masa yang panjang sebenarnya, macam kita tengok pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie/Toh Ee Wei, dalam masa setahun dua tahun sahaja mereka sudah meninggalkan impak yang cukup besar.

“Kita perlukan muka baharu. Maksudnya empat tahun ini memang cukup untuk siapkan pemain. Satu tahun untuk kematangan, satu tahun ambil pengalaman dan selebihnya perlu mengekalkan momentum agar sentiasa berada di puncak prestasi,” kata Mohd Zakry yang pernah menduduki ranking keempat dunia.

Ditanya mengenai pemain berpotensi besar untuk menyinar dan boleh menjadi beregu utama negara satu hari nanti, Mohd Zakry berkata anak kepada bekas legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek iaitu Muhammad Fazriq yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam SUKMA 2024 antara individu yang perlu diberi perhatian.

“Selain itu, kita juga mempunyai pemain muda di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seperti Muhammad Haikal Nazri dan Wan Arif Wan Junaidi yang sudah mula membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya yang kini merupakan penolong jurulatih pasukan badminton Universiti Malaya.

Gandingan Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan berjaya meraih beberapa gelaran antaranya Terbuka Singapura 2008, Terbuka Indonesia 2008, Terbuka India 2010 serta Terbuka Taiwan 2011.

-- BERNAMA