Maxis Perkenal 5g-advanced, Beri Pengalaman Baharu Kepada Penonton Sukma 2024

Kamera Smart Watching dan Smart Al Analytics yang digunakan oleh Maxis 5G-Advanced pada acara badminton sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Tertutup Sibu hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
22/08/2024 05:57 PM

SIBU, 22 (Bernama) -- Maxis memberikan pengalaman baharu kepada peminat sukan melalui teknologi Smart Watching dan Smart AI Analytics, yang didayakan oleh Maxis 5G-Advanced pada SUKMA 2024.

Berbanding dengan teknologi 5G, 5G-Advanced adalah hingga 10 kali lebih pantas (mampu mencapai kelajuan muat turun hingga 10Gbps dan muat naik 1Gbps), boleh disambungkan kepada hingga 10 kali lebih banyak peranti dan lima kali lebih responsif (dengan kependaman di bawah 10 milisaat).

Digunakan di Stadium Tertutup Sibu, iaitu venue acara badminton SUKMA 2024, kelajuan Puncak Pengguna 5G-Advanced yang dicapai melalui rangkaian Maxis 5G-Advanced adalah sekitar 9.2Gbps.

Pemangku Ketua Pegawai Strategi Teknologi Maxis Tan Cheng Peng ditemubual Bernama ketika memperkenalkan teknologi Smart Watching dan Smart Al Analytics yang digunakan oleh Maxis 5G-Advanced Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

“Hari ini di sini, kami (MAXIS) menggunakan Smart Watching iaitu video sfera 360 darjah dirakam melalui 60 kamera definisi tinggi yang dipasang di sekeliling stadium tertutup,” kata Pemangku Ketua Pegawai Strategi Teknologi Maxis Tan Cheng Peng.

Beliau berkata Smart Watching meningkatkan pengalaman menonton dengan menawarkan perspektif pelbagai sudut serta keupayaan untuk menghentikan dan merakam detik-detik istimewa, menjadikannya klip video pendek yang mempertingkatkan cara peminat menikmati sukan kegemaran mereka.

Tan berkata kamera 360 darjah pula merakam setiap pergerakan pantas dari pelbagai sudut, membolehkan penonton menikmati sepenuhnya kelajuan, kemahiran, dan refleks yang terlibat. Kependaman ultra-rendah dan kelajuan muat naik tinggi rangkaian Maxis 5G-Advanced membolehkan penyampaian siaran video 4K secara langsung.

Pemangku Ketua Pegawai Strategi Teknologi Maxis Tan Cheng Peng ketika melihat proses penggunaan teknologi Smart Watching dan Smart Al Analytics yang digunakan oleh Maxis 5G-Advanced Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Tertutup Sibu hart ini.

Perlawanan pilihan harian boleh didapati menerusi  https://www.maxis.com.my/5g-advanced.

Beliau berkata Smart Al Analytics pula menggunakan kamera yang dipacu oleh AI untuk menganalisis demografi penonton (umur, jantina, bilangan unik/saiz orang ramai) yang membantu penganjur memahami audiens dengan lebih baik.

Ia juga katanya memantau kepadatan dan aliran orang ramai secara masa nyata, membantu penganjur acara menguruskan kesesakan dan meningkatkan keselamatan selain menganalisis corak pergerakan orang ramai untuk meramalkan kemungkinan kesesakan atau zon yang terlalu padat, membolehkan tindakan pencegahan seperti melaraskan pintu masuk/keluar atau mengarahkan aliran lalu lintas pejalan kaki.

Kamera Smart Watching dan Smart Al Analytics yang digunakan oleh Maxis 5G-Advanced pada acara badminton sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Tan berkata data dan cerapan yang dikumpul boleh digunakan untuk merancang acara akan datang dengan memahami keutamaan penonton, waktu puncak, dan corak pergerakan, membantu penganjur mengoptimumkan susun atur, petugas, dan kemudahan.

“Teknologi sama telah digunakan di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini. Ini berpotensi sebagai panduan kepada pelan tindakan akan datang seperti Sukan SEA 2027, yang Sarawak sasarkan dapat menjadi tuan rumah bersama,” katanya.

Beliau berkata 5G-Advanced dapat membantu ekonomi Malaysia berkembang kekal lebih berdaya saing, dengan ia boleh diaplikasikan dalam pembuatan pintar, logistik, bandar pintar, penjagaan kesihatan serta pendidikan manakala Maxis akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memajukan teknologi berkenaan dan sedia untuk melancarkannya di Malaysia jika diberi peluang.

-- BERNAMA