Permulaan Goyah Buat Muhammad Nur Syaiful Di Paris 2024
Daripada Amiril Muttaqien Meketar
PARIS, 29 Ogos (Bernama) -- Perenang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli memulakan kempen Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan agak goyah, selepas menduduki tempat kesembilan secara keseluruhan dalam saringan 200 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal), di sini hari ini.
Hanya lapan perenang terbaik dari keseluruhan dua saringan berlangsung di Paris La Defense Arena, di sini, mara ke peringkat akhir, petang ini.
Muhammad Nur Syaiful bagaimanapun diletakkan dalam senarai simpanan bagi acara final bersama perenang kesepuluh terbaik dari Thailand Phuchit Aingchaiyaphum.
Terdahulu, atlet berusia 29 tahun itu merekodkan 2 minit 52.67 saat (s) untuk menamatkan cabaran saringan pertama di tangga kelima, yang diungguli perenang Atlet Paralimpik Neutral, Kirill Pulver (2:34.31s).
Sekiranya tidak dapat beraksi di final 200m gaya bebas lelaki S5, perenang dari Sarawak itu masih mempunyai baki tiga acara lagi termasuk acara kegemarannya 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal).
Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dibuka secara rasmi semalam akan berakhir 8 Sept.
-- BERNAMA