Paris 2024: Liek Hou Terus Catat Kemenangan

Cheah Liek Hou
01/09/2024 05:21 AM

PARIS, 31 Ogos (Bernama) -- Seperti Muhammad Fareez Anuar, Cheah Liek Hou juga berjaya muncul juara Kumpulan A menewaskan Suryo Nugroho pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Arena Porte de La Chapelle, Liek Hou, yang memenangi pingat emas pada edisi lepas, meneruskan prestasi cemerlangnya apabila dengan mudah mengetepikan pemain Indonesia 21-10, 21-13 dalam masa hanya 31 minit.

Pemain nombor satu dunia itu membuka kempen Paris 2024 dengan menumpaskan Mroz Bartlomiej dari Poland, 21-10, 21-6, pada Khamis.

Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou menerima isyarat bagus daripada pemain Perancis Meril Loquette dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Paris 2024.

Ini disusuli dengan kemenangan menentang pemain tuan rumah Meril Loquette 21-10, 21-16 semalam.

Bercakap kepada media Malaysia selepas perlawanan, Liek Hou berkata Suryo tidak bermain bersungguh-sungguh mungkin kerana pemain Indonesia itu telah pun meraih tempat di separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A. 

“Saya rasa tiada guna dia nak lawan saya betul-betul, tadi saya nampak dia begitu relaks,” katanya

Muhammad Fareez mengekalkan rekod tanpa kalahnya di Paris 2024 selepas menewaskan pemain Jepun Taiyo Imai pada perlawanan akhir Kumpulan B, 17-21, 21-17, 21-17.

Khamis lepas, seorang lagi atlet negara pemain nombor empat dunia Muhammad Fareez mengejutkan pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18, sebelum menundukkan Dheva Anrimusthi dari Indonesia yang juga Sukan Para Asia Hangzhou 2022, 14-21, 21-19, 21-19, semalam. 

Anrimusthi turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan Jen-Yu 21-14, 21-18 untuk muncul naib juara Kumpulan B. 

-- BERNAMA