Paris 2024: Nova Armada Tetap Bangga Dengan Prestasi Fareez

Pemain badminton negara Muhammad Fareez Anuar (kanan) selepas menentang pemain Indonesia Dheva Anrimusthi dalam perlawanan penentuan pingat gangsa perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Paris 2024 malam tadi. Fareez tewas dengan 21-17, 19-21, 12-21.
03/09/2024 12:18 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 3 Sept (Bernama) -- Biarpun rezeki tidak memihak kepada Muhammad Fareez Anuar, jurulatih badminton para negara, Nova Armada tetap berbangga dengan prestasi pemain perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) itu pada penampilan pertama di Sukan Paralimpik terutama ketika muncul juara Kumpulan B, yang dianggap sebagai ‘kumpulan maut’.

Sejurus jaguh badminton para Cheah Liek Hou mempertahankan emas acara sama dengan menumpaskan Suryo Nugroho dari Indonesia, 21-13, 21-15 di gelanggang satu Porte de La Chapelle Arena, Nova sejujurnya berharap agar Fareez mampu membawa pulang gangsa dari Paris 2024.

Bagaimanapun, keputusan sebaliknya berlaku apabila Fareez tidak berupaya mengekalkan kelebihan dimiliki ketika mendahului set pertama, 21-17, sebelum akur dengan kebangkitan Dheva Anrimusthi dari Indonesia yang membawa pulang gangsa menerusi kemenangan 21-19, 21-12, pada dua set berikutnya.

“Memang sayang Fareez tidak dapat pingat kerana saya benar-benar mahukan beliau meraihnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Fareez memulakan kempen pada peringkat Kumpulan B dengan mengejutkan pilihan kedua, Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18 sebelum melakukan dua kebangkitan hebat untuk menewaskan Dheva 14-21, 21-19, 21-19 dan pemain Jepun, Taiyo Imai 17-21, 21-17, 21-17.

Pemain nombor empat dunia itu kemudian terpaksa akur dengan kehebatan Suryo pada aksi separuh akhir apabila ditundukkan lawannya 12-21, 21-14, 6-21.

Dalam pada itu, Nova bersyukur segala penat lelah Liek Hou menjelang Sukan Paralimpik 2024 berbaloi sekali gus memastikan emas kekal berada dalam genggaman anak buahnya.

“Persiapan kami memang mencabar sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, mahu rancang bukannya senang ditambah dengan kecederaan yang menimpa Liek Hou.

“Namun setibanya di sini keadaan Liek Hou cukup bagus, permainannya cemerlang, jadi saya sangat senang (kejayaan Liek Hou),” katanya.

Kejayaan Liek Hou menyaksikan beliau menyumbang emas pertama buat negara selepas Eddy Bernard merangkul pingat gangsa acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) pada Ahad.

-- BERNAMA