Nicol Kagum Aksi Noor Askuzaimey Di Paris

Kredit : FB Nicol David
03/09/2024 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Meskipun menamatkan Sukan Paralimpik Paris 2024 hanya selangkah daripada kedudukan podium, pencapaian pemain boccia kebangsaan Noor Askuzaimey Mat Salim meraih perhatian legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David.

Nicol berkata beliau kagum dengan semangat juang atlet para itu yang meraih tempat keempat pada perlawanan akhir boccia individu wanita BC4 (kecacatan fizikal) semalam.

"Saya ingat saya beritahu dia - anda hebat hanya dengan mewakili negara...lakukan yang terbaik dan anda akan baik-baik sahaja kerana anda kuat dan bertenaga...terima kasih kerana memberi inspirasi kepada saya dengan menonton anda berjuang bermati-matian," katanya dalam perkongsian di Facebook yang didedikasikan buat Noor Askuzaimey hari ini.

Semalam, harapan Noor Askuzaimey untuk menghadiahkan pingat pertama untuk Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris musnah selepas ditewaskan pemain Colombia, Leidy Chica 7-1 dalam perlawanan penentuan gangsa.

-- BERNAMA