Paris 2024: Yusof Hafizi Pelumba Terbaik Asia
Daripada Amiril Muttaqien Meketar
PARIS, 4 Sept (Bernama) -- Pelumba berbasikal lebuh raya para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menamatkan saingan di tangga kelima daripada 10 pelumba dalam acara ujian masa individu lelaki C1 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.
Yusof Hafizi melintasi garisan penamat dengan catatan masa 22 minit 27.91 saat (s) sekali gus muncul pelumba terbaik Asia dalam perlumbaan berlangsung di Clichy-sous-bois.
Ricardo Ten Argiles dari Sepanyol merangkul emas dengan catatan 20:39.53s diikuti perak oleh Michael Teuber dari Jerman (21:18.14s) dan gangsa disambar Zbigniew Maciejewski dari Poland (21:18.94s).
Ketua jurulatih berbasikal para negara Johari Mohd Nayan berkata keputusan dilakar anak buahnya itu mengetepikan pelumba China Li Zhangyu yang pernah memenangi emas saingan berbasikal trek acara 3,000m kejar-mengejar individu lelaki C1 dan ujian masa 1,000m lelaki C1-3 (kecacatan fizikal), baru-baru ini.
Zhangyu menduduki tempat kesembilan dengan catatan 24:50.93s.
Johari mengakui terkejut dengan Yusof Hafizi yang menampilkan kayuhan bertenaga dan menyifatkannya sebagai prospek cerah untuk menyinar pada edisi seterusnya di Los Angeles 2028.
“Prestasi Yusof Hafizi amat baik. Dari segi kelajuannya meningkat dan masa pun pantas berbanding pencapaian di kedudukan sama (kelima) pada Tokyo 2020 (26:46.56s),” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Muhammad Adi Raimie Amizazahan menduduki tempat terakhir acara ujian masa individu lelaki C3 (kecacatan fizikal) dengan catatan 46:30.54s manakala wakil tuan rumah Thomas Peyroton-Dartet merangkul emas (38:28.80s) diikuti perak oleh pelumba Sepanyol Eduardo Santas Asensio (39:12.71s) dan Matthias Schindler dari Jerman gangsa (39:21.35s).
Johari berkata perlumbaan disertai Muhammad Adi Raimie itu bagi memantau tahap kecergasan pelumba berkenaan menjelang acara lepas beramai-ramai C1-3 (kecacatan fizikal) Sabtu ini.
Beliau juga bersyukur melihat Nur Suraiya Muhammad Zamri dan jurumudinya Farina Shawati Mohd Adnan menghabiskan perlumbaan ujian masa wanita individu B (kecacatan penglihatan) biarpun berada di kedudukan kesepuluh dan terakhir dengan 50:48.55s.
Emas menjadi milik Katie-George Dunlevy-Linda Kelly dari Ireland (38:16.58s) manakala gandingan Great Britain masing-masing merangkul perak dan gangsa menerusi Sophie Unwin-Jenny Holl (39:40.18s) dan Lora Fachie-Corrine Hall (40:41.30s).
-- BERNAMA