Sainbayar Pimpin Burgos BH Di LTdL 2024

08/09/2024 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pasukan profesional dari Sepanyol, Burgos BH mengharapkan pengalaman pelumba Mongolia, Jambaljamts Sainbayar untuk mengetuai cabaran mereka dalam saingan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang dijadual berlangsung dari 29 Sept hingga 6 Okt depan.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan memaklumkan Sainbayar tidak asing dalam kalangan peminat sukan berbasikal lebuh raya di negara ini memandangkan pernah mewakili pasukan profesional tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dari 2021 hingga 2023, yang melakar pelbagai kejayaan peribadi dan pasukan termasuk memenangi jersi putih pada LTdL 2022.

“Pelumba berusia 27 tahun itu yang baru-baru ini bersaing di temasya Olimpik Paris dalam perlumbaan jalan raya dengan menduduki tempat ke-57 dan ke-28 ujian masa individu itu telah meninggalkan TSG dan menyertai Burgos BH pada akhir 2023 dengan kontrak setahun.

“Langkah ini sebahagian daripada usaha beliau untuk mengembangkan kerjaya dengan bersaing di peringkat Eropah selepas menjadi pelumba profesional pertama Mongolia,”menurut kenyataan itu.

Selain Sainbayar yang mahir dengan keadaan perlumbaan di Malaysia, Burgos BH turut membariskan  Antonio Eric Fagundez (Uruguay), Mario Aparicio (Sepanyol), Ander Okamika (Sepanyol), Clement Alleno (Perancis) dan Georgios Bouglas (Greece).

Sementara itu, pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) dibarisi Ahmad Syazrin Awang llah, Zulfikri Zulkifli, Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Zawawi Azman, Muhammad Fahmi Khairul dan Mohamad Izzat Hilmi Abd Halil akan menyertai Jelajah Salalah di Oman bermula hari ini hingga Rabu sebagai persiapan mereka untuk LTdL 2024.

LTdL 2024 akan membabitkan lapan peringkat perlumbaan, dengan edisi ke-28 ini akan menyaksikan Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan selain dua peringkat melibatkan Miri dan Bintulu di Sarawak.

Perlumbaan peringkat pertama bermula di Langkawi diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (peringkat tiga), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat empat), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat lima), Batu Pahat ke Kulai (peringkat enam), Miri ke Bintulu (peringkat tujuh) dan Bintulu (peringkat lapan).

-- BERNAMA